Susulan peningkatan angka Covid-19 yang mendadak sehingga 11,079 kes positif hari ini, kerajaan didesak untuk mengatur strategi baru menggantikan Pelan Pemulihan Negara, dengan membebaskan Malaysia dari strategi yang percaya membuta tuli terhadap pelaksanaan ‘lockdown’.
Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang berkata, strategi yang dilakukan Perikatan Nasional (PN) telah gagal terutamanya sepanjang tempoh enam bulan terakhir darurat yang mengakibatkan 6,260 nyawa terkorban.
Malah katanya, kegagalan strategi itu juga menyumbang kepada jumlah kes bunuh diri yang tinggi yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
“Saya mengulangi gesaan saya kepada Kabinet untuk memutuskan sekurang-kurangnya lima perkara esok antaranya mengadakan perbahasan penuh tentang krisis pandemik Covid-19 semasa sidang Parlimen 26 Julai depan.
“Kabinet perlu putuskan tentang penamatan darurat kerana ia membawa kegagalan teruk dan merupakan strategi salah untuk perang lawan Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Lim turut menggesa agar seluruh Kabinet memohon maaf kepada rakyat Malaysia kerana kegagalan mereka membendung penularan wabak Covid-19.
Pada masa sama, beliau mahu agar kerajaan mengundang semua parti yang mempunyai wakil di Parlimen, termasuk parti-parti pembangkang untuk menyusun strategi baru dab dibentangkan untuk disahkan ketika Parlimen bersidang pada 26 Julai.