Rentetan daripada hari pengundian Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang berakhir dengan keputusan Parlimen tergantung, beberapa pihak mula mengapikan sentimen perkauman di sosial media.
Sebahagian besar pengundi muda yang menyokong parti tertentu memuat naik beberapa hantaran memberi amaran kemungkinan berulangnya rusuhan kaum 13 Mei 1969 di TikTok.
Ekoran itu, Ahli Parlimen Pulai Datuk Seri Salahuddin Ayub mengingatkan agar tiada mana-mana pihak termakan isu perkauman yang dimainkan orang-orang politik untuk kepentingan kuasa mereka semata-mata melebihi kepentingan rakyat.
Beliau turut memberi nasihat bahawa Islam itu adalah agama yang rahmah dan menggalakkan manusia berkasih sayang.
Bahkan Al-Quran mengajar umat Islam untuk saling mengenali antara satu sama lain dan bukan bermusuhan.
“Ambillah pengajaran daripada sirah bagaimana Nabi Muhammad SAW memeterai Piagam Madinah bersama kaum dan bangsa yang berbilang, bukan hanya dengan menonton filem Mat Kilau yang berteraskan fiksyen.
“Wahai anak muda, Masa depanmu panjang.
“Jangan gopoh dalam bertindak kelak masa depan tergadai. Ingatlah, sekiranya umur 18 tahun boleh diberikan tanggungjawab mengundi, umur 18 tahun juga boleh berdepan dengan kesalahan jenayah yang bakal menanti,” ciapnya di Twitter.
Laman sosial TikTok memaklumkan telah memadam hantaran kandungan berkaitan rusuhan kaum 13 Mei 1969 kerana ia melanggar Garis Panduan Komuniti pihaknya.
Dalam satu kenyataan, TikTok berkata, pihaknya tidak mempunyai toleransi terhadap sebarang bentuk ucapan kebencian, keganasan dan ekstremisme.
Baca juga: Pernah lihat Ismail Sabri, Mahiaddin atau Zahid edar makanan tengah hari kepada petugas media?