Jangan jadikan OSA pelindung jenayah rasuah

Oleh BORHAN AHMAD

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mengutuk cadangan Peguam Negara untuk meminda Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 bagi memasukkan hukuman penjara seumur hidup dan 10 sebatan sebagai hukuman.

Pengasasnya Badrul Hisham Shaharin atau Che’GuBard berkata, cadangan semberono itu tidak sepatutnya dikeluarkan sekiranya pemimpin negara benar-benar mempunyai iltizam politik yang tinggi untuk menghapuskan unsur-unsur korupsi dalam pentadbiran kerajaan.

“SAMM bersetuju sekiranya OSA ini hanya terpakai untuk perkara-perkara membocorkan maklumat yang bersifat pengintipan dan risikan, membocorkan rahsia sehingga boleh membahayakan nyawa orang ramai dan keselamatan dan pertahanan negara.

“Tetapi OSA tidak boleh digunakan untuk melindungi jenayah korupsi. Tidak kira sama ada korupsi dan salah urus tadbir itu berlaku di peringkat kerajaan persekutuan, kerajaan negeri, kerajaan tempatan malahan dalam parti politik sekalipun, ia harus ditentang dan dilawan,” tegas beliau.

Che’GuBard menyarankan Peguam Negara meminda dan memperkemaskan lagi Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta SPRM 2009) bagi membasmi kegiatan korupsi dengan lebih tuntas agar kedudukan negara dalam Indeks Persepsi Rasuah tidak terus merudum.

Peguam Negara juga, tambah beliau perlu mengemukakan kepada kabinet dan parlimen satu pindaan undang-undang yang melindungi pemberi maklumat sehingga tertangkapnya pelaku rasuah.

“Jika kerajaan pemerintah tidak melakukan sebarang kesalahan atau korupsi, mengapa harus takut dengan pendedahan maklumat? Apa yang perlu disorokkan daripada pengetahuan umum?

“Peguam Negara juga seharusnya membentangkan kepada kabinet cadangan rang undang-undang kebebasan maklumat supaya masyarakat dapat bersama-sama melakukan semak dan imbang dalam urus tadbir kerajaan,” katanya.

Sehubungan itu, SAMM katanya menyeru semua pihak yang cintakan negara supaya menyalurkan maklumat korupsi yang berlaku kepada Sekretariat Bongkar SAMM, Pusat Gerakan Rakyat (PaGER) SAMM, No. 344 (Tingkat 1 & 2), Jalan Haruan 5/8, Oakland Commercial Centre, 70300 Seremban.

Maklumat juga ujarnya boleh disalurkan melalui email di [email protected]

“Segala maklumat pengenalan diri akan dirahsiakan dan dilindungi,” katanya.