“Jangan kecam, dia bukan ambil kesempatan” – Kak KM anggap Saiful Apek macam abang

Oleh MAISARAH AISYA

Pastinya interaksi antara selebriti akan dirakam para peminat, ditambah pula zaman sekarang segala benda mahu ditularkan kepada umum.

Tampil menjawab mengenai isu pinggang dirangkul pelawak Saiful Apek, usahawan sensasi Kak KM menganggap kejadian tersebut berlaku secara spontan.

Sebelum ini tular video Saiful memeluk pinggang Liana Rosli semasa mengambil gambar, menyebabkan dia dikecam ramai.

Jelas usahawan berusia 44 tahun itu, suaminya ada semasa kejadian berlaku dan ia berlaku secara spontan serta tiada istilah ambil kesempatan lapor Kosmo! Online.

“Jangan kecam abang Apek. Kasihan, dia tak biasa kena kecam. Benda itu spontan. Saya cakap padanya tak kisahlah kena kutuk kerana benda itu sekejap sahaja.

“Kita dah macam adik-beradik. Suami saya pun ada di situ dan nampak kejadian tersebut memang spontan serta tak nampak macam dia (Apek) nak ambil kesempatan.

“Apek ada isteri dan anak serta sudah berhijrah. Saya juga menghormatinya,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.

Tidak hanya itu, anak kepada pelakon senior Normah Damanhuri sudah menganggap pelawak itu seperti abangnya sendiri.

“Sebenarnya, saya selesa dengannya sebab dia (Apek) bukan lelaki gatal yang cuba nak ambil kesempatan sebab kalau jumpa lelaki gatal saya akan jauhkan diri.

“Ketika insiden itu, dia datang jumpa mama (ibu) saya, bersalam dan cium tangan semua. Saya berasa macam dia seperti abang sahaja,” kongsinya.

Baca juga: Banyak komitmen perlu dibayar, Datuk Aliff Syukri sudah mula beniaga seawal 4 pagi