Kesatuan Pelajar Universiti Malaya (KPUM) meminta Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad tidak mengenepikan kepentingan pelajar walaupun seorang sahaja dari mereka tertekan dalam menjalani pengajian secara dalam talian.
Ini berikutan kenyataan beliau bahawa 78.4% mahasiswa tidak berasa tertekan dengannya pengajian atas talian atau online itu.
“KMUM juga mendapati jika kajian menunjukkan bahawa 78.4% mahasiswa tidak berasa tertekan, bagaimana pula dengan peratusan lebihan yang seharusnya tidak boleh diketepikan,” kata kenyataan KPUM ekoran kenyataan Noraini itu.
Katanya, KMUM merasakan perlu adanya polisi yang akan dilaksanakan untuk membantu lebihan responden yang
mungkin merasai tekanan berpunca daripada mengikuti pengajian belakangan ini.
“Walaupun hanya seorang mahasiswa yang tertekan, ianya sudah mencukupi bagi pihak berkaitan untuk memberikan perhatian kepada kesihatan emosi dan mental dalam kalangan mahasiswa,” katanya.
Bersangkutan dengan sesi akademik baharu yang akan bermula tidak lama lagi, KMUM menggesa agar pelan kontigensi dan polisi berkaitan disegerakan pelaksanaanya.
“Adanya kes bunuh diri yang tidak diingini dalam kalangan mahasiswa baru-baru ini menjadi indikator bahawa isu ini adalah isu yang menekan dan penting,” katanya.
Pengalaman mahasiswa menjalani mod pengajian dalam talian amat bergantung kepada pelbagai faktor seperti fasiliti, ketercapaian sambungan internet, dan suasana sekitar.
Katanya, mahasiswa yang tidak mempunyai peranti digital dan internet yang stabil masih bergelut untuk menyesuaikan diri mereka dengan norma baharu ini.
Tambahan pula, katanya, masalah penginapan masih menjadi isu sehingga kini kerana wujud ketidaktentuan yang memberi kesan kepada keputusan mereka samada untuk menyewa rumah di sekitar kampus ataupun tidak.
Permasalahan ini semua, katanya, menyumbang secara tidak langsung kepada kesihatan mental mahasiswa yang sekali lagi kami tegaskan, perlu diberi perhatian secukupnya.
“KMUM berpandangan bahawa pihak berwajib seperti KPT dan pentadbiran universiti seharusnya mengambil iktibar daripada pengalaman tiga semester menguruskan dan mengkoordinasi hal-hal berkaitan akademik serta kebajikan mahasiswa dalam era norma baharu ini.
“Setiap seorang mahasiswa ini merupakan seorang anak, abang, kakak, dan adik kepada seseorang — maka mereka tidak sepatutnya dipandang hanya sebagai nombor dan data,” tegas kenyataan itu.