Pengumuman penggantungan operasi perlombongan bauksit selama tiga bulan adalah kemenangan pertama untuk rakyat Pahang khususnya di kawasan yang terjejas, ujar Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM).
Pengasas SAMM, Badrul Hisham Shaharin atau Che’GuBard berkata perlombongan bauksit di Kuantan telah berjalan lama namun pemerintah agak perlahan dalam aktiviti penguatkuasaan sehingga meragut nyawa dan memusnahkan kelestarian alam sekitar.
“Di saat Indonesia, pengeluar ketiga terbesar bauksit pada tahun 2013 melarang pengeksportan mineral ini, Malaysia pula mencipta peningkatan hampir 1400% iaitu daripada 2040 tan pada tahun 2004 kepada 208,770 tan pada tahun 2014.
“Walaupun SAMM memahami bahawa industri bauksit ini boleh menjana pendapatan kepada negara, tetapi seharusnya rejim pemerintah turut mengambil berat soal kelestarian alam dan kesejahteraan kesihatan umum.
“Apakah pemerintah tidak boleh mengenakan syarat ketat kepada pemain industri supaya tidak merosakkan alam seperti yang dilakukan oleh Australia?” soal beliau.
Beliau turut mempersoalkan kegagalan kerajaan melihat amalan baik pengurusan bauksit seperti yang dikeluarkan oleh International Aluminium Institute (IAI) dan membiarkan pemain industri untuk membuat apa sahaja tanpa dikawal.
Menurutnya, pelbagai pihak termasuk agensi dan penjawat awam berkepentingan telah mengeluarkan kenyataan berdolak-dalik yang cuba menyembunyikan kemudaratan perlombongan bauksit yang tidak terkawal.
“Hari ini Menteri Kesihatan juga telah memberikan amaran agar rakyat tidak menggunakan bekalan air sungai dan juga makan ikan dari sungai yang tercemar. Namun begitu, bagaimanakah untuk orang ramai dapat mengetahui ikan-ikan ini berasal daripada sungai yang telah tercemar?” soalnya.
Tambah beliau, kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang kononnya memandang serius dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan ekoran wujud unsur-unsur rasuah dalam aktiviti perlombongan bauksit juga agak lucu.
“Cukuplah SPRM menjadi bahan lelucon sebelum ini. SAMM yakin dan percaya perkara ini akan senyap dan hilang begitu sahaja kerana di belakang semua aktiviti bauksit ini wujud kelompok-kelompok individu yang sangat berkuasa dalam hierarki kuasa negara,” tegas beliau.
Sehubungan itu, SAMM ujarnya menyeru rakyat Pahang khususnya penduduk Kuantan dan kawasan terjejas untuk meneruskan usaha melawan aktiviti perlombongan bauksit yang tidak terkawal ini.
“Walaupun kita telah beroleh kemenangan pertama susulan pengumuman penggantungan operasi selama tiga bulan, tetapi percayalah itu hanyalah satu keputusan politik yang bersifat sementara – untuk meredakan kegusaran dan kemarahan rakyat semata-mata.
“Penangguhan tiga bulan ini adalah usaha untuk menipu rakyat semata-mata dan tidak bererti apa-apa kerana mana mungkin kemusnahan dahsyat ini dapat diperbaiki atau dibersihkan dalam masa tiga bulan.
“Rakyat Pahang perlu bersatu menuntut pengharaman pengeksportan bauksit jika rejim pemerintah terus gagal untuk menguatkuasakan peraturan amalan baik industri bauksit ini,” ujarnya lagi.
SAMM dalam masa terdekat bersama-sama dengan beberapa aktivis sekutu dari dalam dan luar negara, jelasnya akan ke lokasi yang terjejas teruk dengan aktiviti bauksit ini bagi menyusun dan membantu perlawanan massa rakyat.