Jangan lengah-lengahkan RUU Anti-Lompat Parti jika Malaysia serius pulihkan demokrasi

Oleh NASUHA RAHMAN

Jangan lengah-lengahkan RUU Anti-Lompat Parti jika Malaysia serius pulihkan demokrasi.

Ketua DAPSY Malaysia Dr Kelvin Yii berkata, Kerajaan Persekutuan harus menetapkan satu jangka masa yang jelas untuk pembentangan Akta tersebut secepat mungkin.

“Kami menggesa agar komitmen tarikh tersebut dinyatakan semasa pembentangan pindaan Perlembagaan Persekutuan pada sidang khas 11 April 2022 nanti,” katanya.

Semalam, Menteri Undang-Undang Yang Berhormat Dato Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengesahkah bahawa Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti tidak akan dibentangkan semasa sidang khas Parlimen pada 11 April 2022 akan datang.

Dato Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar

Menurut Kelvin Malaysia telah mengalami pengelutan politik dan ketidakstabilan pentadbiran pada empat tahun kebelakangan ini.

Sejak Pilihan Raya Ke-14, seramai 39 Ahli Parlimen telah menukar parti sehingga menyebabkan penukaran Kerajaan Persekutuan.

Bahkan katanya, perkara ini juga telah memulakan kejadian di mana Ahli-Ahli Dewan Negeri di Perak, Johor, Melaka, Kedah dan Sabah juga menukar kesetiaan parti sehingga menyebabkan penukaran Kerajaan Negeri masing-masing.

“Pergolakan kuasa oleh beberapa individu sehingga demokrasi negara disia-siakan tidak boleh diteruskan lagi.

“Ramai pengundi telah hilang kepercayaan kepada sistem pilihanraya kita.

“Semua rakyat Malaysia dan terutamanya anak muda yang akan mengundi buat pertama kali pada pilihanraya yang akan datang berhak dijamin bahawa undi mereka dihormati dan dipelihara,” katanya lagi.

DAPSY Malaysia menyatakan sokongan dan ingin menyeru agar semua Ahli Parlimen juga turut sokong pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan bagi membenarkan suatu Akta Anti-Lompat Parti digubal pada sidang khas 11 April 2022 yang akan datang.

Baca juga: https://malaysiadateline.com/kesemua-mp-ph-akan-bagi-sokongan-penuh-lulus-ruu-anti-lompat-parti-11-april-ini/