Jangan lepas tuntut PRU di musim tengkujuh, mahu daruratkan negara pula

Oleh BORHAN AHMAD

Rakyat negara ini diberikan ingatan bahawa nyawa mereka lebih penting daripada sandiwara pemimpin Umno sekarang yang sedang berusaha mengadakan pilihan raya walaupun pelbagai amaran diberikan tentang musim tengkujuh yang akan melanda negara.

Sehubungan itu, Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub memberikan ingatan, darurat bukan amalan normal dalam sistem demokrasi negara ini.

Salahuddin meninjau keadaan banjir di Temerloh tahun lepas.

“Jangan nak bubar kemudian nak mohon darurat untuk kepentingan kuasa semata-mata,” kata Salahuddin menerusi Twitter beliau.

Ingatan ini dibuat berikutan ada cadangan untuk mengadakan darurat pula jika banjir melanda negara ketika parti itu menekan agar PRU diadakan segera.

Sementara itu, Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang mengingatkan, sekiranya Parlimen tidak dibubarkan dalam dua atau minggu yang akan datang, pilihan raya umum ke-15 akan dibuat pada tahun hadapan.

Kit Siang berkata demikian di ceramah DAP di Bentong malam tadi.

Katanya, pimpinan tertinggi Umno mahu mendesak PRU15 diadakan sesegera mungkin, tanpa mempedulikan amaran banjir walaupun 54 nyawa telah terkorban tahun lepas kerananya.

Lim Kit Siang meninjau kawasan banjir sebelum ini.

Di samping itu, rakyat juga sedang berhadapan dengan peningkatan harga barangan dan kesusutan nilai ringgit.

“Perkara yang mendapat perhatian tertinggi “Kluster Mahkamah” dalam Umno yang mendominasi pimpinan Umno bukanlah penderitaan rakyat, sebaliknya bagaimana untuk mereka melarikan diri dari hukuman penjara atas tuduhan rasuah yang dihadapi mereka dan bagaimana untuk mereka menyelamatkan diri selepas mengubah Malaysia menjadi sebuah kleptokrasi,” kata beliau.

Bagi beliau, inilah contoh terbaik betapa berbezanya pimpinan Umno hari ini dengan Umno dalam hari-hari empat Presiden terawal seperti Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman, Razak Hussein dan Hussein onn.

“Presiden-presiden terawal Umno ini tahu untuk membezakan di antara perkara yang betul dengan perkara yang salah dan mereka tahu apa yang tidak boleh dilakukan sekiranya mereka ingin menjaga kepentingan rakyat,” katanya.

Namun bagi veteran DAP itu, selepas 30 bulan dengan kekecewaan dan perasaan berputus asa selepas konspirasi Langkah Sheraton, terdapat perubahan perasaan di kalangan rakyat apabila bekas Perdana Menteri Najib Razak akan dihantar ke penjara pada 23 Ogos 2022.

“Mesej pada 23 Ogos 2022 ini amatlah jelas: bahawa Malaysia masih boleh diselamatkan dan kita tidak boleh berputus asa untuk berjuang demi sebuah Malaysia yang lebih baik untuk anak-anak dan cucu-cucu kita,” kata beliau.