Jangan lupa periksa sebelum balik beraya, mekanik ajar cara mudah kesan tayar botak

Oleh WAN SITI AMINAH

Keadaan tayar adalah salah satu perkara asas namun yang paling wajib untuk diberikan perhatian lebih oleh pemilik kereta terutamanya bagi kenderaan digunakan secara harian.

Penting untuk mengelakkan risiko berbahaya seperti kemalangan, pemilik kenderaan perlu menukar tayar sekiranya bahagian jalur atau bunga pada getah itu sudah haus.

Hal ini kerana, jalur bunga yang menipis dijangka akan melemahkan cengkaman tayar sewaktu pedal brek kereta ditekan sehingga boleh menyebabkan kenderaan hilang kawalan.

Menyedari kegusaran orang ramai, seorang mekanik tampil memuat naik perkongsian mengenai panduan mudah diikuti untuk mengenal pasti bunga tayar yang telah botak.

Percaya atau tidak, mekanik yang berpangkalan di Alor Setar, Kedah itu berkongsi keadah memeriksa perkara ini dengan hanya menggunakan sekeping wang syiling bernilai 10 sen sahaja.

Berikut kami kongsikan panduan berdasarkan hantaran berbentuk video berdurasi 12 saat yang dimuat naik oleh mekanik berkenaan di akaun TikTok miliknya iaitu @abangcomot.

Cara-cara:

1. Sediakan sekeping duit syiling dan cari lambang berbentuk segi tiga pada tayar kereta.

2. Letak duit syiling dalam jalur tengah tayar secara menegak mengikut kedudukan tiga segi itu.

3. Sekiranya perkataan ‘Malaysia’ pada syiling itu tidak kelihatan, bermakna jalur bunga itu masih dalam keadaan baik dan tidak perlu ditukar.

Perkara ini bermakna jika perkataan Malaysia sudah timbul, pemilik kenderaan boleh mempertimbangkan untuk tidak menggunakan dan menukar tayar botak berkenaan.

Tular di media sosial, video berkenaan sudah berjaya meraih lebih daripada setengah juta tontonan dan sebanyak 10,600 tanda suka daripada pengguna platform media sosial TikTok.

Baca juga: Fikir nak siap cepat je! Ramai tak sedar bahaya rebus nasi impit dalam plastik