Jangan makan berlebihan masa Raya, ikuti 7 tip ini!

Oleh MAISARAH AISYA

Biasanya bila Hari Raya ini mulalah orang nak bagi alasan makan berlebihan sebab sebulan puasa, tapi diingatkan jangan terlalu lahap.

Ditambah pula masa puasa kuantiti makanan dijaga sebab nak muat baju raya yang dibeli, biasalah mahu kelihatan ramping dan cantik.

Namun harus diingatkan untuk tetap jaga pemakanan apatah lagi yang dihidangkan pula tinggi kalori, lemak dan minyak.

Ikuti tips dikongsi portal Relevan berdasarkan temu bual bersama Pensyarah Kanan dan Pakar Dietetik Pusat Kajian Rehabilitasi dan Keperluan Khas (iCaRehab), Fakulti Sains Kesihatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Nur Hana Hamzaid.

“Jangan terlalu mengikut nafsu. Kita kena tahu keperluan badan, berapa porsi yang perlu diambil dan juga tahap kesihatan supaya makanan tersebut tidak memudaratkan diri.

“Orang dewasa yang sihat, berusia 18 hingga 21 tahun, memerlukan kalori kira-kira 1,800 hingga 2,000 kilokalori (kcal) sehari.

“Sehubungan itu, kita perlu sentiasa peka dan cakna dengan pemakanan yang diambil, pastikan juga makanan tersebut seimbang (ada karbohidrat) protein dan serat),” katanya kepada seperti dipetik Relevan.

Sebagai panduan, Nur Hana kongsikan tujuh tip pemakanan sihat ketika beraya untuk kita semua seperti berikut:

Minum air putih atau tidak bergula

“Ketika beraya kita tidak boleh elak untuk makan makanan yang berkalori tinggi seperti rendang, lemang, ketupat dan lodeh.

“Maka, solusi terbaik adalah minum air putih. Kita boleh bawa bekal air putih itu ke mana-mana sahaja ataupun minta tuan rumah sediakan.

“Langkah ini boleh menjimatkan kalori kerana satu gelas air manis mengandungi kira-kira 150 hingga 200 kcal,” jelasnya.

Guna pinggan atau mangkuk yang lebih kecil

Selain itu, salah satu taktik yang boleh dipraktikkan adalah dengan mengambil pinggan atau mangkuk yang kecil untuk meletakkan makanan kerana secara tidak langsung kita akan cenderung makan sedikit sahaja.

Kita boleh ambil macam-macam makanan tetapi dengan kadar sedikit. Ingat, banyak lagi rumah yang hendak dikunjungi.

Kalau perut terlalu penuh nanti tiada ruang untuk merasa makanan lain.

Bahagikan waktu makan, jangan sekali hadap

Makanan raya sangat tinggi kalori. Contohnya, kuah lodeh satu senduk bersamaan 130 kcal dan sudah semestinya paling sikit kita ambil empat hingga lima senduk. Itu belum lagi masuk rendang, nasi beriani, ketupat dan lain-lain.

Oleh itu, anda perlu jadualkan waktu makan kepada waktu makan utama seperti sarapan, makan tengah hari dan makan malam serta snek.

Untuk setiap waktu makan utama hadkan kepada 500 kalori sahaja makanan berat. Kalau tiga kali makan sudah jadi 1,500 kcal.

Kalori selebihnya boleh diperuntukkan untuk makanan ringan seperti biskut dan kuih raya.

Rancang perjalanan Raya

Sudah semestinya perancangan sangat penting supaya pengambilan kalori tidak berlebihan.

Sebagai contoh, kita perlu rancang nak sarapan di rumah siapa? Begitu juga makan tengah hari dan makan malam.

Setiap rumah yang kita pergi ada juadah Istimewa masing-masing, maka dengan cara ini kita dapat jimat kalori dan dapat nikmati pelbagai juadah raya yang sangat enak tanpa rasa bersalah.

Mungkin rumah seterusnya anda boleh minum petang sahaja seperti makan kuih, biskut atau kerepek.

Sebiji kuih mengandungi kira-kira 50 hingga 60 kcal manakala satu keping rempeyek sebanyak 85 kcal.

Perhatikan makanan terlebih dahulu

Setiap rumah menghidangkan pelbagai makanan untuk para tetamu. Tetapi kita jangan gelojoh, survey dulu makanan. Ambil juadah yang kita teringin dan sentiasa kawal porsi.

Tidak perlu makan semua. Mulakan dengan makanan tinggi serat (sayur dan buah) contohnya, pecal dan buah potong.

Ambil makanan tinggi serat

Kebiasaannya pada raya kedua dan ketiga ramai yang mengalami masalah sembelit sebab makan makanan yang tinggi lemak secara berturut-turut.

Oleh itu, Nur Hana menyarankan kepada tuan rumah supaya sediakan juga pilihan makanan yang tinggi serat seperti sayuran dan buah-buahan.

Sediakan makanan rendah kalori

Tuan rumah juga dinasihatkan agar menyediakan pilihan makanan yang rendah kalori seperti asam laksa dan soto di samping makanan berat yang lain.

Kita sebagai tetamu hendak merasa-rasa sahaja. Kita menjamah makanan itu sebagai menghormati tuan rumah.

Tapi kalau rasa nak makan tu boleh sahaja, tiada masalah tapi pastikan selepas itu jaga kembali pemakanan agar berat tidak naik mendadak.

Baca juga: