Parti Amanah Negara (Amanah) kesal dengan tindakan kerajaan BN menggantung pemberian biasiswa pelajar universiti di bawah tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kerana ia membabitkan anak-anak muda Melayu dari golongan berpendapatan rendah tetapi cemerlang dalam pelajaran.
Pengerusi Biro Pendidikannya, Aminolhuda Hassan dalam satu kenyataan media berkata, walaupun Amanah sangat memahami kedudukan kewangan negara yang berdepan dengan penguncupan pendapatan akibat penurunan harga minyak mentah dunia, ia sama sekali tidak wajar memangsakan masa depan anak bangsa.
“Amanah beranggapan bahawa pendidikan merupakan sektor terpenting dalam pembangunan modal insan bagi memacu pembangunan lestari dan daya saing tinggi negara.
“Rakyat masih ingat potongan RM2.4 bilion yang dibuat ke atas sektor Pendidikan dan khususnya ke atas semua IPTA dalam Bajet 2016.
“Penggantungan biasiswa ini mengesahkan lagi ketidakprihatinan kerajaan terhadap pendidikan dan pelaburan masa depan negara,” tegasnya.
Menurut beliau, penggantungan biasiswa akan menyebabkan ramai pelajar cemerlang lepasan SPM 2015 bakal terlepas peluang menyambung pelajaran ke universiti terkenal di dalam dan di luar negara.
Golongan terbesar yang bakal terkesan daripada penggantungan ini, katanya ialah anak-anak muda Melayu khususnya golongan yang berpendapatan rendah tetapi cemerlang dalam pelajaran.
Aminolhuda yang juga Pengerusi Amanah Johor berkata, para penyelidik dan ahli akademik sepakat bahawa pendidikan adalah kaedah paling berkesan mengubah dan mengeluarkan keluarga daripada kepompong serta garis kemiskinan.
“Amanah dengan ini memberi peringatan kepada kerajaan supaya jangan sesekali mengorbankan masa depan serta kepentingan anak muda dengan menggantung pemberian biasiswa ini,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Parit Yaani itu.
Sehubungan itu, tambah beliau, Amanah menyarankan agar penstrukturan semula bajet negara dibuat melalui potongan ke atas perbelanjaan yang tidak munasabah seperti perbelanjaan mengurus Pejabat Perdana Menteri dan peruntukan RM8.5 bilion dalam pelbagai ‘Slush Fund’ yang tidak punya kebertanggungjawaban yang jelas.
“Sayugia kami mencadangkan agar peruntukan ini yang dipotong dan dipindahkan kepada peruntukan pendidikan dan biasiswa pelajar.
“Amanah dengan penuh tanggung jawab menggesa agar kerajaan Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak segera bertindak menarik balik penggantungan pemberian biasiswa dan program Bursary di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia,” ujarnya.