Jangan rasis keterlaluan kerana kedamaian itu terlalu mahal

Oleh KIM SYAZIE

Jadikan Al-Quran sebagai panduan hidup dan jangan terlalu prejudis atau punya prasangka yang buruk terhadap bukan Islam yang telah tinggal bersama sejak sekian lama dalam sebuah negara Malaysia yang aman dan harmoni.

Naib Pengerusi AMANAH Pulau Pinang, Dr Zaidi Zakaria ketika dihubungi berkata, masyarakat tidak harus terlalu khuatir maupun mempunyai prasangka buruk setelah saling perlu memerlukan antara satu sama lain sejak sekian lain.

“Cuba lihat setiap barangan keperluan dan kebendaan dalam setiap kediaman kita, apakah ianya langsung tiada dari bukan Islam. Bila sakit atau masuk ke hospital apakah kita turut menolak diberi perkhidmatan dari doktor maupun jururawat bukan Islam.

“Bahkan terlalu banyak perkara dalam setiap kehidupan bermasyarakat kita adalah saling perlu-memerlukan antara satu sama lain. Justeru itu apakah perlu kita terlalu rasis antara satu dengan yang lain.

“Lebih bermanfaat seandainya kita terlalu bimbang, maka ambillah serta amalkanlah doa Nabi Ibrahim dari Surah Al-Mumtahina ayat 5 yang memohon supaya dijauhkan dari sasaran fitnah bagi orang-orang kafir,” ujar beliau yang juga merupakan Pengarah Komunikasi dan Penerangan Pakatan Harapan Pulau Pinang.

Tegas beliau lagi, doa itu merupakan senjata bagi umat Islam dan ianya perlu senantiasa diamalkan secara rutin sebagai satu senjata ketika apa jua situasi, senang mau pun susah atau pun tatkala kesulitan serta kepayahan.

Yang perlu menjadi proriti katanya, ialah kebersamaan bagi memastikan keamanan dan kedamaian hidup berterusan serta utuh terjalin umpama ikatan yang kukuh dalam sebuah negara yang aman dan damai seperti Malaysia.