Jangan senang bagi IC, ini 5 pegawai yang JPN benarkan untuk pegang kad pengenalan anda!

Oleh MAISARAH AISYA

Orang ramai dinasihatkan agar lebih peka terhadap hak peribadi mereka, khususnya berkaitan dokumen pengenalan diri seperti MyKad.

Menurut Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), pengawal keselamatan tidak mempunyai kuasa mahupun hak untuk meminta, memegang MyKad orang awam.

Dalam satu kenyataan yang diberikan kepada Bernama, hanya lima kategori pegawai yang dibenarkan berbuat demikian di bawah Peraturan 7(1), Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.

Lima pegawai dimaksudkan adalah pegawai JPN, pegawai polis, pegawai kastam, anggota tentera yang sedang bertugas, serta pegawai awam yang diberi kuasa oleh Ketua Pengarah Pendaftaran Negara.

“Sebarang tindakan oleh pengawal keselamatan untuk meminta atau menyimpan kad pengenalan melanggar undang-undang dan boleh dikenakan tindakan,” jelas kenyataan itu.

Dalam masa sama JPN turut menegaskan bahawa penggunaan alat elektronik untuk mengimbas data MyKad juga tidak dibenarkan.

Ini kerana ia tertakluk kepada peruntukan di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.

“Sebarang pemprosesan data peribadi oleh pihak swasta tertakluk kepada Akta Perlindungan Data Peribadi 2010, yang menetapkan garis panduan dan kewajipan untuk melindungi maklumat peribadi individu,” menurut JPN.

Sebelum ini tular isu seorang pengawal keselamatan di sebuah premis yang didakwa menggunakan peranti elektronik untuk mengimbas MyKad.

Tindakan pengawal keselamatan itu jelas mencetuskan perdebatan dalam kalangan orang awam, disebabkan itu JPN tampil mengeluarkan kenyataan ini.

Baca juga: Wanita curiga bakal suami berkepit dengan anak buah 26 tahun, nak duduk serumah lepas kahwin