Amanah tidak akan terlibat dengan rasuah, janji presidennya

Oleh MALAYSIADATELINE

 

Memandangkan rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan di negara ini semakin berleluasa, Parti Amanah Negara (Amanah) tampil mengingatkan agar gejala merosakkan itu diperangi habis-habisan dan berjanji tidak akan terlibat dengannya.

Presidennya, Mohamad Sabu mengingatkan semua pimpinan parti merangkumi Ulama’, Pemuda, Wanita, Arif dan mana-mana pihak yang bersama perjuangan Amanah supaya memberi tumpuan kepada perbincangan berkaitan keperluan untuk menentang rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa oleh pemerintah.

Beliau berkata, mesej anti-rasuah itu perlu disampaikan dalam apa sahaja bentuk aktiviti dilakukan seperti ketika memberi ceramah penerangan, berkuliah ataupun membuat apa-apa penulisan atau berbual dengan rakan-rakan.

“Saudara bersyarah, berkuliah atau menulis apa tajuk sekalipun, selitlah keperluan menentang rasuah, penyelewengan serta salah guna kuasa sebagai salah satu intipatinya.

“Parti Amanah hendaklah memerangi habis-habisan kebejatan tersebut supaya kerajaan yang ada dapat ditukar kepada kerajaan yang bersih, dan ia juga akan melekat dalam jiwa kita, apabila kita berkuasa kelak,” ujarnya dalam kenyataan beliau malam tadi.

Berjanji bahawa Amanah sama sekali tidak akan terlibat dengan rasuah, penyelewengan, pembaziran serta penyalahgunaan kuasa, Mohamad yang juga bekas Timbalan Presiden PAS berkata, Islam dan masyarakat dunia amat menuntut nilai integriti dan ketelusan dalam pemerintahan.

“Dunia Islam, kerajaan umat Islam dan kerajaan di dunia ketiga amat ketinggalan dalam bidang ini. Oleh itu, kita bertekad untuk berjuang melalui demokrasi, melalui pilihan raya untuk mewujudkan suatu pemerintahan yang lebih telus, terbuka dan berasaskan ‘good governance’ (tata kelola yang baik),” ujarnya lagi.