Pengurus jenazah terpaksa jirus campur air panas, jasad bayi dibeku sebab bapa tak mampu bayar bil

Oleh WAN SITI AMINAH

Hati bapa manakah tidak hancur berkecai apabila jasad bayinya yang meninggal dunia selepas 30 minit dilahirkan tidak boleh dibawa pulang malah dibekukan kerana tidak mampu menjelaskan bil hospital.

Bukan cerita rekaan, itulah kejadian sebenar berlaku di sebuah hospital swasta tempatan yang didedahkan oleh seorang aktivis dikenali sebagai Wan Cai menerusi beberapa siri hantaran di platform Facebook.

Wan Cai yang terlibat dalam bidang pengurusan jenazah itu berkata, jasad bayi berkenaan dibekukan selama dua minggu oleh pihak hospital swasta sehinggalah bapanya menjelaskan tunggakan bil pada pagi Isnin.

“Hancur luluh apabila melihat jenazah anak tanpa dosa ini kerana tubuhnya 100 peratus beku! Bayangkan bayi sudah meninggal pada 24 November lalu tetapi ditahan selama dua minggu dan diletakkan di dalam peti sejuk.

“Perkara ini berlaku asbab si ayah tidak mampu membuat bayaran bil untuk caj kelahiran anaknya di sebuah hospital swasta. Menurut si ayah, isterinya mengadu sakit sebelum dihantar oleh jirannya ke hospital tersebut.

“Ketika kejadian, beliau sedang bekerja dan bergegas ke hospital selepas dimaklumkan tentang keadaan isterinya. Harap bersabar dan jangan menghukum sebelum mendengar kisah selanjutnya,” katanya.

Wan Cai yang juga merupakan Pengasas Unit Khas Van Jenazah (UKVJ) itu mendakwa bahawa ibu kepada bayi berkenaan turut tidak dibenarkan keluar dari wad hospital selagi tidak menjelaskan bil.

Dalam pada itu, Wan Cai turut berkongsi cerita mengenai cabaran yang terpaksa dihadapi oleh pasukannya ketika menguruskan jasad bayi syurga terbabit kerana tubuhnya sudah mengeras.

“Kami menghadapi masalah sewaktu nak menguruskan jenazah Wildan Syurga, adik Muhammad Adham Mikail. Kami terpaksa menggunakan air panas yang dicampur dengan air paip bagi melembutkan tubuh dan sendinya.

“Adik Muhammad Adham meninggal dunia selepas 30 minit dilahirkan asbab tidak cukup sifat iaitu hanya mempunyai satu mata, tiada hidung dan saluran lubang najis. Penghungi Syurga,” kongsinya.

Tidak mendedahkan nama hospital swasta tersebut, Wan Cai berpendapat bahawa ibu bapa kanak-kanak itu yang masing-masingnya berasal dari Melaka dan Negeri Sembilan tidak sepatutnya dilayan sedemikian kerana mereka bukanlah warga asing.

Difahamkan, jenazah Muhammad Adham Mikail selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang, Selangor, semalam yang mana kos liang lahad bayi itu ditanggung menggunakan dana infak orang ramai melalui pihak aktivis terbabit.

Baca juga: “Bekas suami ingat aku tipu ada alergik, aku sampai masuk hospital sebab dia sengaja ‘test’ aku…”