Jawatankuasa Felda: Amanah anggap MB Johor cuba tutup tembelang

Oleh MALAYSIADATELINE

Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Johor menganggap langkah kerajaan negeri mewujudkan jawatankuasa bagi menangani semua isu yang dihadapi Felda di negeri itu sebagai mahu menutup tembelang dan kelemahan pentadbiran tanah rancangan itu di bawah perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

Timbalan pengerusinya Dzulkefly Ahmad (gambar) berkata, penubuhan jawatankuasa itu hanya sandiwara dalam keadaan rakyat sudah mengetahui krisis yang berlaku dalam Felda Global Ventures (FGV) yang menyalahgunakan aset bumiputera itu.

“Umum telah mengetahui perkara yang berlaku terhadap Felda Global Ventures (FGV) yang membabitkan aset Felda disalahguna dan tindakan MB Johor ini seperti ingin menutup kelemahan yang berlaku di bawah pentadbiran Perdana Menteri Dato Seri Najib Razak.

“Amanah Johor ingin memberi penegasan agar apa yang diwujudkan ini jangan menjadi suatu perkara yang hanya cakap sahaja tanpa ada usaha yang bersungguh untuk membantu peneroka generasi kedua,” katanya dalam kenyataan.

10 Jun lalu, kerajaan negeri Johor mengumumkan penubuhan sebuah jawatankuasa bagi menangani semua isu yang dihadapi Felda di negeri itu khususnya soal pemilikan, perumahan dan infrastruktur, selain pembinaan rumah generasi kedua Felda oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, jawatankuasa itu dipengerusikan bersama Pengerusi Felda, Tan Sri Shahril Abdul Samad yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru dan dua exco kerajaan negeri yang berkaitan.

Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata, penglibatan exco kerajaan dalam jawatankuasa itu turut menjadi kebimbangan pihaknya kerana rekod sebelum ini menunjukkan exco di bawah pentadbiran Khaled dikaitkan dengan tuduhan rasuah hartanah yang melibatkan hak milik bumiputera.

“Perkara ini telah menjadi suatu perkara yang terlalu membimbingkan dan sememangnya perkara ini perlu diselidiki terlebih dahulu sebelum menubuhkan apa jawatankuasa sekalipun dan justeru pihak kami menyarankan agar rakyat perlu berhati-hati dengan jawatankuasa yang sedang diwujudkan ini,” tegasnya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan Umno BN berasa tergugat apabila kehadiran bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ke Felda-felda mendapat sambutan yang memberangsangkan.

“Pihak kami juga melihat, hasil turun padang dan lawatan Tun Mahathir Mohamad ke kawasan-kawasan Felda telah mendapat sambutan yang hangat, ini telah membuatkan pihak kerajaan yang dipimpin oleh Umno dan Barisan Nasional merasa tergugat,” katanya.