Jejaki kanak-kanak mirip Puteri Sarah, Raisuddin Hamzah rela redah 7 jam perjalanan

Oleh KIM SYAZIE

Bapa kepada penyanyi, arwah Siti Sarah iaitu Raisuddin Hamzah sanggup menempuh perjalanan hampir tujuh jam untuk menjejaki seorang kanak-kanak.

Sudah tidak sabar lagi ingin bersua muka, kanak-kanak berkenaan dikatakan mempunyai rupa paras seakan-akan arwah Siti Sarah.

Pertemuan itu sedikit sebanyak dapat mengubat kerinduan Raisuddin terhadap anaknya yang sudah dijemput Tuhan terlebih dahulu.

Setelah berjaya dipertemukan, Raisuddin mengakui kanak-kanak yang berasal dari Kedah itu mempunyai wajah yang mirip dengan anaknya.

Menurut Raisuddin, kanak-kanak itu bukan sahaja memiliki rupa paras sama malah turut berkongsi ciri fizikal serupa seperti arwah Siti Sarah.

Rindu yang tiada penghujungnya, bapa yang berusia 67 tahun itu telah menganggap Miza seperti cucunya sendiri walaupun baru pertama kali berjumpa.

“Cucu baru atuk. Terubat kerinduan atuk, gigi pun sama,” katanya yang terlihat terharu ketika dapat bertemu empat mata dengan Miza.

Difahamkan, pertemuan yang diadakan di Kedah itu turut dihadiri isteri Raisuddin, Siti Fatimah dan anak sulung arwah, Uwais Alqarni.

Sesi ‘jejak kasih’ yang mengharukan itu dirakam kemudian dikongsi oleh isteri Raisuddin di laman Instagram miliknya, @suciuwais.

Sementara itu, penyampai radio Suria FM iaitu Shuib turut berpeluang untuk menghubungi Miza menerusi satu panggilan video.

Shuib dan Miza berkomunikasi melalui panggilan video

Shuib yang sudah kembali berumah tangga itu sempat meluahkan hasrat untuk bertemu dengan kanak-kanak berkenaan, suatu hari nanti.

“Macam dia (Sarah). Semoga ada rezeki bertemu kamu,” luah Shuib menerusi satu hantaran video yang dimuat naik di akaun Instagram miliknya.

Video berkenaan turut merakam suara isteri Shuib, Watie Hanafiah yang mengakui bahawa wajah Miza memang seiras dengan Siti Sarah.

“Sama la yang (sayang), dia buat mata macam tu terus sama” ulas Watie.

Baca juga: Boleh pulak dia duduk dalam tu! Doktor terkejut jumpa sotong tersangkut dalam kerongkong pesakit