Seorang jemaah umrah Malaysia dilaporkan meninggal dunia selepas selesai melakukan Tawaf Wada’ di dalam Masjidil Haram, Tanah Suci Makkah pada Jumaat, hari Nisfu Syaaban.
Kejadian itu disifatkan sebagai pengakhiran hayat yang hebat oleh pendakwah bebas terkenal, Abdullah Khairi Harun menerusi satu perkongsian tular dimuat naik di akaun Facebook miliknya.
Abdullah Khairi yang turut menyaksikan detik pemergian jemaah dikenali sebagai Allahyarhamah Marina Abdul itu memaklumkan wanita terbabit sempat berjalan dengan ceria sebelum jatuh di dalam masjid.
Difahamkan, Allahyarhamah Marina merupakan jemaah yang mengikuti rombongan Ustaz Abdullah Khairi di bawah syarikatnya iaitu UAK Travel & Tours Sdn Bhd untuk mengerjakan umrah bersama suaminya, Jamaluddin.
“Pengakhiran hayat yang hebat! Baru selesai Tawaf Wada’, menangis dalam doa. Masih di dalam keadaan berwuduk. Sempat berjalan dengan ceria. Tiba-tiba jatuh di dalam masjid dan meninggal dunia.
“Hebat Puan Marina Abdul Wahab, isteri sahabatku, Jamaluddin! Innalillahi wa inna Ilaihi Raji’un,” kongsi pendakwah berkenaan dalam satu hantaran menerusi platform Facebook.
Menerusi perkongsian seterusnya, Abdullah Khairi turut berkongsikan perkara yang lebih menyentuh hati iaitu Allahyarhamah meninggal dunia di pangkuan suaminya pada hari cukup istimewa, Nisfu Syaaban.
Pendakwah itu juga memaklumkan bahawa menurut suami Marina, Allahyarhamah merupakan seseorang yang bersikap pemurah dengan gemar menjamu makan orang di sekelilingnya.
“Jenazahnya dikebumikan di Makbara Syuhada Alharam. Meninggal dunia selepas Tawaf, dalam wuduk pada hari Jumaat, Nisfu Syaban, di pangkuan suami dalam Masjidil Haram. Disembahyangkan oleh ribuan manusia di Masjidil Haram selepas solat Maghrib.
“Kami meneruskan ziarah ke Madinah walaupun kurang seorang sahabiah. Suaminya tetap tabah! Meneruskan sisa hari yang ada. Datang berdua, beg berempat. Tetapi balik seorang diri, beg berempat. Hanya Allah yang tahu,” ujarnya.
Baca juga: Lelaki kecil hati ditolak mentah-mentah bakal majikan sebab berasal dari Kelantan