Siapa menyangka niat seorang wanita menjemput bekas mentua dan ahli keluarga rapat untuk makan di rumahnya berakhir tragedi.
Wanita dari Australia itu disyaki membunuh bekas mentuanya dengan makanan yang dimasak dirumahnya.
Erin mendakwa cendawan yang digunakan dalam masakan dibeli di kedai berhampiran rumahnya lapor Mirror UK.

Bekas menantu kepada Don dan Gail Patterson menyediakan makan tengah hari di rumahnya di Leongatha, Australia, untuk mentuanya serta dua individu lain pada 29 Julai lalu.
Tidak lama selepas makan makanan yang dihidang, kesemua tetamu dilaporkan sakit tenat dan bekas mentuanya, Don serta Gail dilaporkan meninggal dunia di hospital.
Bukan hanya bekas mentua, kakak Gail, Heather Wilkinson juga meninggal dunia, manakala suaminya Ian kekal dalam keadaan kritikal di hospital.
Disebabkan kes tersebut, polis akhirnya mengeluarkan waran geledah di rumah Erin Patterson yang kemudiannya disoal siasat dan dibebaskan sementara menunggu siasatan.
Menurut laporan 7 News, semasa soal siasat berlangsung, Erin memaklumkan pegawai bahawa cendawan tersebut dibeli dari sebuah premis di kawasan perumahan.
Erin bagaimanapun tidak jatuh sakit selepas makan tengah hari, dan tidak diketahui sama ada berapa banyak kuantiti yang diambilnya.

Sementara itu, Detektif Inspektor Dean Thomas dari Polis Victoria berkata simptom pada mereka yang terjejas adalah sama iaitu disebabkan cendawan dimakan.
Bekas suami Erin, SImon Patterson pada awalnya merancang untuk hadir namun membatalkan niat pada saat akhir kerana ada temujanji lain.
Erin ketika disoal media tempatan memaklumkan dia tidak tahu apa yang berlaku kepada tetamunya tetapi tidak mendedahkan juadah apa yang dihidangkan.
“Saya menyayangi mereka dan kecewa kerana mereka sudah tiada,” katanya.
Baca juga: Bahana makan cendawan petik tepi rumah, sekeluarga lemah longlai angkara kulat beracun