Jho Low lari dari Hong Kong ke Macau, kata KPN

Oleh MALAYSIADATELINE

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mengesahkan hari ini, hasil maklumat terbaharu menunjukkan, ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low telah melarikan diri ke Macau.

Jelasnya, maklumat berkenaan diperoleh daripada pasukan pegawainya yang dihantar untuk menjejaki Jho Low di Hong Kong.

“Kita menghantar satu pasukan ke Hong Kong untuk mencari beliau (Jho Low). Apabila tiba di sana, kita dimaklumkan beliau sudah lari dan maklumat terkini beliau berada di Macau sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni di Bulan Syawal di Ibu Pejabat Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Putrajaya, hari ini.

Ditanya sama ada polis melawat kediaman dan pejabat Jho Low di Hong Kong, Mohamad Fuzi berkata polis tidak mempunyai butiran berkenaan.

Hari ini, dilaporkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Mohd Shukri Abdull dipetik berkata mereka masih mencari Jho Low dalang dalam skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Semalam, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali pula dipetik berkata, pasport Jho Low telah dibatalkan pada 15 Jun, atas permintaan SPRM yang sedang menjalankan siasatan menyeluruh mengenai penyelewengan dana yang berkaitan dengan 1MDB.

“Kami menerima permohonan daripada Datuk Seri Mohd Shukri Abdull pada Hari Raya dan kami (meneruskan) membatalkan pasportnya dengan segera,” Mustafar dipetik sebagai berkata.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Jho Low akan ditangkap dan tindakan tegas juga akan diambil dari sudut undang-undang kanun jenayah atau rasuah terhadap ahli perniagaan itu.