Pas mendesak Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dipecat jika benar surat dihantar Bank Negara kepada TH gagal melunaskan deviden dan bonus kepada 8.8 juta pencarumnya bagi tahun 2015 disebabkan rizab kewangan simpanan umat Islam itu di paras negatif.
Malah Pas turut mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak, Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom untuk tampil membuat kenyataan rasmi dengan surat yang dihantar oleh Bank Negara kepada TH bertarikh 23 Disember lalu.
Timbalan Presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man membuat desakan ini, dalam satu kenyataan hari ini dengan mempersoalkan tiga perkara yang perlu di jawab oleh kerajaan.
Pertama adakah benar Bank Negara telah mengutuskan satu surat kepada Jamil Khir mengenai kedudukan kewangan TH pada tahun 2015 yang gawat di mana nilai rizab TH menjadi negatif dan ini bermaksud, pada harga nilai pasaran semasa, aset TH tidak mencukup untuk memenuhi kesemua obligasinya termasuk deposit?
Keduanya, apakah betul Bank Negara dalam surat tersebut turut menyebut dalam keadaan (1), di bawah peruntukan Seksyen 22 Akta Tabung Haji 1955, TH tidak boleh mengisytihar pengagihan dividen dan bonus kepada pendeposit sekiranya nilai aset kurang nilai kesemua obligasinya?
“ Keadaan ini amat membimbangkan kerana ia mendedahkan TH kepada risiko pengeluaran depositi secara bebsar-besaran sekiranya jangkaan dividen pendeposit tidak dipenuhi atau memadai pada pandangan pendeposit? “ soal Tuan Ibrahim.
Perkara ketiga turut disentuh apakah betul Bank Negara dalam satu surat berlainan kepada Pengerusi TH, Tan Sri Zeti telah menyarankan agar TH merumus satu dasar rizab yang komprehensif dengan kadar segera sebelum 31 Mac 2016?
“Sekiranya semua di atas benar – apakah ini menjadi punca kelewatan Tabung Haji mengisytiharkan dividen dan bonus?
“Dan sekiranya di atas benar – mengapa Tabung Haji masih melabur membeli tanah di Pusat Kewangan Tun Razak Exchange? Apakah ini keputusan PM atau Pengerusi TH?
“Apakah pelaburan tersebut telah menggawatkan lagi situasi kewangan di Tabung Haji.
“Sekiranya semua di atas benar, Pas mendesak agar Pengerusi TH dipecat dengan kadar serta-merta dan seorang pengerusi TH baru dilantik bagi membantu TH menunai obligasinya berdasarkan saranan Bank Negara,” ujarnya.
Paras rizab Lembaga Tabung Haji negatif dan tidak akan dapat membayar 8.8 juta pencarum sebarang dividen tahun ini jika tidak mengambil tindakan menyelesaikan masalah ini, kata Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Zeti Akhtar Aziz kepada TH menerusi surat bertarikh 23 Disember 2015 yang dilihat The Malaysian Insider (sebagaimana telah dilaporkan), Zeti memberitahu Abdul Azeez nilai aset hanya mencukupi untuk membayar tidak lebih daripada 98 sen bagi setiap seringgit nilai liabiliti.
Seksyen 22 Akta Tabung Haji pula menyatakan Tabung Haji tidak boleh mengisytiharkan pengagihan dividen dan bonus kepada pendeposit sekiranya nilai aset kurang daripada nilai kesemua obligasinya.
Semalam TH dalam satu kenyataan rasmi menggesa semua pendepositnya supaya tidak membuat spekulasi bahawa lembaga itu melewatkan bayaran dividen kepada 8.8 juta pendepositnya.
Agensi itu berkata, pada kelazimannya Tabung Haji akan mengumumkan bonus pendeposit pada suku pertama antara Januari hingga Mac.
“TH perlu memastikan semua proses auditan awalan dilalui dan kelulusan dalaman diperolehi.
‘Konsep simpanan di TH adalah AlWadiah Yad Dhamanah di mana apa apa pulangan adalah dalam bentuk Hibah tertakluk kepada prestasi kewangan tahun semasa dan budi bicara pengurusan.
“Konsep ini tiada bezanya dengan konsep AlWadiah oleh institusi perbankan Islam yang lain,” kata kenyataan bahagian hal ehwal awam dan komunikasi korporatnya.