‘Jika betul RM500 bilion dibelanjakan, sepatutnya kita sudah dapat hasil lebih baik’

Oleh KIM SYAZIE

Jika benar kerajaan menggunakan dana sehingga RM500 bilion setahun untuk membantu rakyat, seharusnya negara sudah melihat hasil yang lebih baik dari sekarang, kata Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Mahfuz Omar.

Beliau berkata, adalah memalukan jika Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun menganggap bantuan sebanyak RM500 bilion itu sebagai bukti kerajaan tidak gagal.

Tegasnya, kejayaan atau kegagalan kerajaan tidak boleh diukur melalui jumlah peruntukan yang disalurkan, tetapi bergantung kepada bagaimana kerajaan itu menggunakannya.

“Macam mana dia kata RM500 bilion sedangkan wang yang betul-betul dari kantung kerajaan sebanyak RM80 bilion sahaja.

“Yang lain-lain daripada moratorium, pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan agensi-agensi kerajaan yang mengurangkan kos sewaan.

“Takkanlah kita ukur kejayaan kita itu dengan sejumlah wang yang diperuntukkan. Kamu tak tahu apa yang kamu belanja dan lakukan sehingga menyebabkan keadaan tak tercapai seperti yang dihasratkan.

“Kalau sampai RM500 bilion dibelanjakan, sepatutnya kita sudah dapat hasil lebih baik. Kes-kes sepatutnya berkurang dan kita berjaya untuk vaksinkan rakyat secara kebih besar. Tapi sampai hari ini vaksin tak cukup. Ini bukan gambaran,” katanya dalam satu bual bicara di Facebooknya malam tadi.

Terdahulu, Rina berkata kerajaan telah menyalurkan sebanyak RM500 bilion bantuan setahun dalam program-program bantuan yang dilaksanakan kerajaan untuk menangani penularan jangkitan Covid-19 dan perkara itu mengundang persoalan ramai sama ada benar atau tidak.

Bagaimanapun menurut Mahfuz, angka kes positif sehingga 11,618 pada semalam sudah menunjukkan ketidakmampuan kerajaan menguruskan pandemik Covid-19.