Ibu kepada pelakon, Aliff Aziz iaitu Siti Hafiza sebelum ini menafikan laporan bahawa anak lelakinya bakal menikahi selebriti sensasi, Ruhainies di Selatan Thailand.
Bagaimanapun dalam hantaran terbaharu di laman Instagram miliknya, Hafiza sekali lagi tampil mengulas dakwaan pernikahan anaknya itu dengan nada yang berlainan.
Siti Hafiza berkata sebagai hamba Allah, dirinya hanya mampu berlapang dada dan tidak mampu menolak seandainya jodoh Aliff ditakdirkan bersama Ruhainies.
Pemilik nama sebenar Siti Hafizah Sheikh Mohamad itu turut menjelaskan bahawa urusan jodoh dan juga aturan kehidupan insan adalah di atas perancangan Tuhan.
“Ada (laporan) yang cakap kita nak kahwinkan anak di Selatan Thailand. Apa-apa pun jika itu yang terbaik, kita aminkan.
“Bukankah jodoh, pertemuan, ajal, maut, perkahwinan dan penceraian itu semua Allah yang tentukan? Kalau dah jodoh. Saya tahu ramai mendoakannya,” katanya dalam satu hantaran video.
Terdahulu, Siti Hafiza memuat naik satu tangkap layar gosip mendakwa ibu kepada tiga anak itu bakal mengahwinkan Aliff Aziz dengan Ruhainies di Selatan Thailand.
Menyangkal khabar yang disifatkannya sebagai fitnah itu, Siti Hafiza juga memohon supaya mana-mana pihak berhenti menyebarkan spekulasi mengenai keluarganya.
Namun pada masa yang sama, Siti Hafiza mengakui sudah ikhlas memaafkan orang yang memulakan spekulasi tersebut walaupun kesal dengan tindakan individu itu.
“Saya pun tertanya juga siapa yang temu bual saya mengenai perkara ini ya? Cukup-cukuplah, kita maafkan semua yang berjuang keluarkan cerita-cerita yang macam ini.” Ulasnya.
Terdahulu, kontroversi melibatkan Aliff Aziz dan Ruhainies tercetus selepas mereka ditahan atas kes khalwat pada 9 Mac lalu, namun dibebaskan dengan jaminan polis.
Susulan tangkapan tersebut, rumah tangga penyanyi kelahiran Singapura itu dengan isterinya iaitu Bella Astillah semakin goyah hingga akhirnya mereka bercerai.
Aliff dan Bella yang juga seorang pelakon dan penyanyi itu sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 13 Jun lalu.
Sekadar info, pasangan itu berkahwin pada 9 September 2016 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Ayden Adrean, 7 dan Ara Adreanna yang kini berusia 4 tahun.
Mereka juga pernah bercerai pada 16 Mei 2019 selepas Aliff beberapa kali berlaku curang dengan wanita berbeza namun kembali rujuk ketika di dalam tempoh iddah.