DAP hari ini menggesa pihak polis berlaku adil dengan melakukan siasatan terhadap MCA dan BN Yong Peng yang didakwa melanggar SOP ketika berkempen di PRN Johor.
Ahli Parlimen Beruas Ngeh Koo Ham berkata, Teresa Kok meminta agar ceramahnya dilanjutkan 30 minit memandangkan ceramahnya tidak boleh dilakukan kerana terganggu dengan tarian singa di jamuan makan bersama Presiden MCA, Dato’ Seri Wee Ka Siong dan calon MCA-BN DUN Yong Peng, Encik Ling Tian Soon.
Beliau berkata, PH kawasan Yong Peng telah mendapat kebenaran polis untuk mengadakan ceramah di pusat operasi Pakatan Harapan pada 26 Februari, 2022 daripada 8.00 malam hingga 10.00 malam.
“Pada malam yang sama, para penyokong MCA-BN mengadakan jamuan makan malam dengan lebih kurang 70 meja di restoran bersebelahan lokasi ceramah kami.
“Jamuan tersebut dihadiri oleh beberapa ratus orang termasuk Presiden MCA, YB Dato’ Seri Wee Ka Siong dan calon MCA-BN DUN Yong Peng, Encik Ling Tian Soon.

“Jamuan MCA bermula dengan tarian singa di pintu restoran tersebut yang bermula pada lebih kurang 6.30 petang sehingga 8.30 malam.
“Bunyi gendang dan simbal daripada tarian singa tersebut amatlah kuat dan menyebabkan ceramah PH yang dijadualkan bermula pada 8 malam tidak dapat dijalankan kerana bunyi kuat daripada gendang dan simbal tarian singa,” kata Ngeh dalam sidang media di Parlimen hari ini.
Menurut Ngeh hanya selepas tarian singa MCA-BN selesai, barulah ceramah PH dapat dimulakan pada jam 8.30 malam.
“Kerana dilewatkan oleh acara MCA-BN, bila hampir jam 10.00 malam, masih ada beberapa penceramah PH yang belum berucap.
“Jadi, penganjur ceramah kami memohon kepada pegawai polis bertugas untuk melanjutkan masa tambahan 30 minit, tetapi pegawai polis tersebut menolak permohonan kami,” ujarnya.
Katanya, apabila sampai giliran Teresa Kok untuk berucap secara terbuka memohon kepada pegawai polis untuk membenarkan ceramah PH dilanjutkan selama 30 minit malangnya permohonan ditolak.
DAP menganggap bukan sahaja MCA-BN tidak peduli dengan SOP tetapi situasi itu juga tidak ditangani dengan adil oleh pegawai polis dan pegawai SPR yang bertugas.
“Jika mereka berani mengarahkan kami menghentikan ceramah tepat jam 10.00 malam, sepatutnya mereka juga perlu berani mengarahkan tarian singa tersebut dihentikan sebelum atau tepat jam 8.00 malam untuk membolehkan ceramah PH dijalankan,” tegas beliau.
Selain itu, katanya SOP pihak SPR dengan jelas melarang aktiviti atau ceramah parti politik tidak boleh melebihi 100 orang tetapi beberapa ratus orang telah menghadiri program makan malam MCA-BN.
“Mengapa pihak berkuasa tidak mengambil tindakan terhadap MCA-BN?
“Malah, selepas ceramah PH dipaksa berhenti pada jam 10.00 malam, program jamuan makan malam MCA-BN masih diteruskan, dan lebih seratus orang masih berkumpul di dalam dan luar restoran tersebut.
” Sekali lagi, polis dan pegawai SPR tidak mengambil apa-apa tindakan,” katanya.
Justeru katanya, sekiranya pihak polis ingin menjalankan siasatan terhadap ucapan Teresa Kok dalam ceramah, beliau ingin meminta pihak polis untuk menyiasat pegawai polis dan pegawai SPR yang bertugas memantau program pilihan raya MCA-BN dan ceramah PH di Yong Peng pada malam itu, untuk menentukan samada mereka menjalankan tugas secara adil dan professional.
“Malah, MCA-BN juga perlu disiasat kerana terlibat dalam program yang melanggar SOP pihak SPR, seolah-olah MCA-BN tidak boleh disentuh oleh undang-undang,” ujarnya lagi.
Teresa Kok dalam kenyataanya percaya MCA-BN sengaja mahu tunjuk kuat dengan membuli PH, mencerminkan keangkuhan MCA-BN.
“Saya juga rasa polis enggan membenarkan permohonan tambahan 30 minit kami semata-mata kerana Pakatan Harapan adalah pembangkang.
“Saya sudi memberi kerjasama kepada polis sekiranya mereka ingin menjalankan siasatan terhadap saya, tetapi saya juga meminta pihak polis menjalankan siasatan terhadap pelanggaran SOP pilihan raya oleh pihak MCA-BN pada malam itu,” katanya.