11 anggota Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai RUU Lompat Parti akan bersidang buat pertama kalinya pagi esok, 15 April 2022, di bangunan Parlimen.
Menurut makluman yang dibuat oleh Sekretariat Jawatankuasa Pilihan Khas, mesyuarat itu akan bermula jam 9 pagi.
Mesyuarat yang akan dipengerusikan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar akan menentukan halatuju RUU yang dianggap perkara utama dalam persefahaman (MoU) antara kerajaan Datuk Seri Ismail Sabri dengan Pakatan Harapan.
“Insya Allah saya akan hadir,” kata Mohamed Hanipa Maidin, ahli Parlimen Sepang yang mewakili AMANAH dalam jawatankuasa ini.

Hanipa, bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) akan bersama 10 yang lain bagi membincangkan perkara ini.
Anggota lain Jawatankuasa Pilihan Khas ini adalah Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut), Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang); Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz (BN-Padang Rengas); Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu); Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti); Gobind Singh Deo (PH-Puchong); Datuk Seri Saifuddin Nasution (PH-Kulim-Baharu), Datuk Ignatius Dorell Leiking (Warisan-Penampang) dan Datuk Seri Panglima Dr Wilfred Madius Tangau (UPKO – Tuaran)
RUU Anti Lompat Parti ini sepatutnya dibentang pada sidang khas Dewan Rakyat Isnin, 11 April lepas, namun ia telah dibatalkan ekoran tidak mendapat kelulusan Kabinet.
Pada sidang khas itu, kerajaan telah mencadangkan satu pindaan Perlembagaan yang berkaitan dengan RUU ini namun ia belum diundi lagi.
Media melaporkan, beberapa anggota Kabinet yang melompat parti sebelum ini tidak setuju dengan beberapa istilah yang digunakan dalam draf RUU itu menyebabkan ia telah ditangguhkan.
Namun ia tidak disahkan oleh kerajaan.
Perdana Menteri Ismail dalam pertemuannya dengan ketua-ketua parti dalam Pakatan Harapan (PH) berjanji RUU ini akan dibentangkan sebelum Mei 2022 dalam satu sidang khas Parlimen yang akan dipanggil beliau.
Kerajaan Pakatan Harapan jatuh pada Februari 2021 apabila beberapa anggota Parlimennya melompat parti manakala Bersatu menarik diri dari kerajaan PH bagi menubuhkan kerajaan baharu yang diketuai Tan Sri Mahiaddin Md Yassin.
Kerajaan Mahiaddin jatuh selepas anggota Parlimen Umno pula menarik diri dari menyokong beliau dan menubuhkan kerajaan baharu pimpinan Ismail.