JKM, Rina bukan sahaja berlakun, lancar bantuan banjir di hotel juga dikesali

Oleh BORHAN AHMAD

Tindakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) membela menteri mereka, Datuk Seri Rina Harun dengan mendakwa dia tidak berlakun di Pusat Perpindahan Sementara di Salak Tinggi, tetapi langkah memberikan bantuan banjir di hotel juga dikesali.

Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) dalam kenyataan mereka berkata, tiada keperluan majlis tersebut kerana mangsa-mangsa banjir masih berada di kawasan banjir dan bukanlah di hotel.

Bagi KMUM, bantuan seharusnya diagihkan di kawasan banjir dengan kadar yang segera kerana mereka
kekurangan keperluan harian seperti makanan, minuman, susu bayi serta keperluan wanita.

Ada sesetengah wanita yang terpaksa bersalin di kawasan banjir tersebut disebabkan oleh kegagalan beliau untuk menjaga kebajikan rakyat.

“Ini bukan sahaja membahayakan ibu yang bersalin malah turut membahayakan bayi tersebut kerana air
banjir boleh menyebabkan berlakunya jangkitan kuman.

“Beliau sebagai Menteri Pembangunan Wanita Kebajikan dan Masyarakat seharusnya peka dengan isu yang melibatkan rakyat terutamanya rakyat wanita,” kata jurucakap kesatuan pelajar itu.

Ekoran itu, bagi mereka, akibat bencana banjir kilat ini telah membuktikan bahawa #KeluargaMalaysia ini hanya wujud di kalangan pihak kerajaan sahaja.

“Rakyat hanya terpaksa bergantung kepada rakyat dalam waktu yang mencabar ini,” kata kenyataan itu.

Berbanding dengan bencana banjir yang berlaku pada 1971 dan 2014, bencana banjir yang telah berlaku baru-baru ini merupakan banjir kilat yang paling teruk di dalam sejarah Malaysia.

“Bencana banjir ini juga telah digelarkan sebagai “banjir seratus tahun”, “kata kenyataan itu yang kesal dengan peranan kerajaan khasnya menteri yang menjaga kebajikan rakyat.