Jabatan Kebajikan Masyarakat tidak sepatutnya diperalatkan atau memperalatkan diri demi mempertahankan seorang menteri yang kini menjadi bahan ketawa ramai ekoran ‘lakonan’ yang tidak menjadi.
Ketua AWAN Nasional Senator Aiman Athira Al Jundi berkata, video Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Harun yang sedang tular terang-terangan menzahirkan maksud rakaman itu diambil iaitu untuk berlakon.
Bahkan katanya, menteri tidak sepatutnya dipanggil untuk program seperti itu ketika ini malah menteri wajar turun ke lokasi bencana ‘ground zero’ seperti di Taman Sri Nanding.
“Di situ kepimpinan menteri dan agensi-agensi kerajaan seperti JKM sangat-sangat diperlukan untuk benar-benar membantu.
“Banyak lagi kerja JKM yang lebih penting sekarang berbanding mempertahankan apa yang tidak ada nilai pun untuk dipertahankan,” katanya.
Sebaliknya kata beliau perbuatan hanya menampakkan dua perkara iaitu JKM jadi alat dan kepimpinan JKM sendiri lemah sampai program yang lebih penting untuk seorang menteri pada masa ini gagal diberikan keutamaan.
“Tahu tak bagaimana perasaan rakyat di bawah yang menjadi mangsa banjir melihat semua ini? Sakit,”katanya lagi.
Sementara itu Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh sedih melihat JKM begitu mempertahankan gelagat menterinya sehingga membuat empat hantaran mempromosi Rina Harun.
“Ramai pegawai JKM sebenarnya berkhidmat pelbagai tugasan, lebih baik guna platform rasmi JKM promosikan produk JKM dan usaha pegawai di PPS. Sampai ada kenyataan media untuk pertahankan gambar dia guna waterjet. Sedih.
“Saya kenal ramai pegawai JKM yang amat berdedikasi dalam melaksanakan tugas mereka. Ramai bertungkus lumus jaga PPS dengan baik.
“Tapi gelagat Menteri merendahkan martabat pegawai JKM. Tak adil bagi mereka,” ciap Hannah.
Terdahulu, video Rina Harun yang sedang menggunakan ‘waterjet’ tular dan menjadi bahan ‘troll’ apabila beliau dilihat membersihkan simen sekolah yang suda bersih.
Dalam kenyataan JKM semalam, memaklumkan Rina sebenarnya membersihkan kesan najis unggas dan cicak yang dilaporkan sukar dicuci sebelum ini.
Rina bukan sekadar menyertai pembersihan awam tetapi turut bersama Sukarelawan Keluarga Malaysia membersihkan kelas, menyapu lantai dan tingkap bilik darjah, menyusun atur meja serta kerusi pelajar supaya keadaan kembali seperti sedia kala memandangkan sesi persekolahan akan dibuka tidak lama lagi.