Joey rupanya pernah jadi penggali kubur, nampak 3 garis terbakar seperti disebat di dada jenazah

Oleh WAN SITI AMINAH

Siapa sangka di sebalik perwatakan lucu yang ditonjolkan untuk menghibur hati orang ramai, pelakon dan pelawak iaitu Joey Daud menjadikan penggali kubur sebagai kerjaya suatu ketika dahulu.

Pemilik nama sebenar Zulkifli Duad itu juga mengakui pernah mengalami pelbagai pengalaman misteri namun turut memberikan keinsafan sepanjang menjadi penggali kubur demi mencari rezeki.

Antara salah satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan adalah ketika ahli keluarga jenazah membuat permintaan supaya kubur digali semula selepas proses pengebumian sudah selesai.

Tujuan mereka membuat permintaan sedemikian adalah untuk mengambil semula kunci kereta milik ahli keluarga yang dipercayai tercicir sewaktu mengebumikan jenazah lalu terkambus dalam tanah kubur.

Selepas proses penggalian semula selesai, kunci kereta itu sememangnya ditemui di bahagian dada jenazah namun perkara yang lebih mengejutkan adalah perubahan berlaku kepada jasad si mati.

“Pernah juga berlaku kejadian di mana ketika itu, jenazah baru sahaja dikebumikan. Kami juga sudah melangkah melebihi tujuh langkah. Saya terdengar jeritan dari ahli keluarga yang meminta kami gali semula kubur.

“Sebabnya kunci kereta mereka tertanam sekali. Jadi kami pun gali semula. Apabila sudah gali dan papan juga dialih, memang ada kunci itu di dada jenazah. Tetapi kami yang melihat ini sudah tidak fokus kepada kunci.

“Malah jadi terdiam sebab ternampak ada kesan tiga garis terbakar di bahagian dada jenazah sepertinya baru sahaja lepas disebat,” katanya di dalam satu sesi audio siar ketika berkongsi pengalaman bekerja sebagai penggali kubur.

Perkara itu didedahkan oleh Joey ketika menjadi tetamu jemputan dalam program audio siar atau ‘podcast’ yang dikendalikan oleh pelakon dan pempengaruh, Safwan Nazri iaitu Sembang Seram.

Menurut Joey lagi, kejadian tersebut sememangnya telah memberikan kesan mendalam serta cukup menginsafkan sehingga menyebabkan ahli keluarga si mati menangis teresak-esak selepas melihat keadaan jenazah.

“Apabila ternampak keadaan jenazah, menangis teruk ahli keluarganya. Ini bukanlah rekaan ke apa, memang betul-betul. Itu antara kejadian yang memberikan kesanlah kepada saya.” Ujar Joey.

Program tersebut disiarkan di platform Youtube menerusi satu hantaran video berdurasi satu jam 42 minit dan 12 saat yang dimuat naik di akaun Safwan Nazri Podcast.

Baca juga: Layanan luar biasa cikgu disiplin ini kepada pelajar cetus pujian netizen