Adakah kerajaan khususnya Jabatan Perdana Menteri (JPM) terlibat dalam kerja-kerja mencuri maklumat menggunakan peranti internet bagi tujuan politik? Perkara ini dibangkitkan Pengarah Strategi PKR, Sim Tze Tzin.
Menerusi kenyataan medianya hari ini, Tze Tzin berkata, pada Julai 2015, blogger teknologi Keith Rozario mendakwa JPM dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memperolehi perisian spyware dari syarikat Itali, The Hacking Team.
Spyware adalah sejenis perisian malware atau program komputer yang dipasang pada komputer yang mengumpul maklumat aktiviti pengguna di internet tanpa pengetahuan mereka.
Kehadiran spyware biasanya tersembunyi dari pengguna dan boleh menjadi sukar untuk dikesan. Spyware sering dipasang secara rahsia pada komputer peribadi pengguna tanpa pengetahuan mereka.
Menurut Tze Tzin, pada minggu lalu Rozario telah mendedahkan bukti pembelian antara syarikat Miliserv Technologies (M) Sdn Bhd yang berpangkalan di Shah Alam dan The Hacking Team pada September 2013 dan Julai 2014.
Tze Tzin menambah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Azalina Othman Said ketika menjawab soalan beliau di Dewan Rakyat menafikan Putrajaya telah membeli perisian spyware tersebut dengan menyebut, “Buat pengetahuan tuan, tiada sebarang peranti seperti itu dibeli oleh Jabatan Perdana Menteri”.
Bagaimanapun, jelas Tze Tzin jawapan bertulis Menteri di JPM, Senator Paul Low bagi pihak SPRM pada sidang parlimen November lalu mendedahkan sebaliknya.
Dalam soalannya kepada JPM, beliau bertanya sama ada SPRM pernah mendapatkan khidmat Miliserv Technologies yang berpangkalan di Shah Alam dan berapa nilai kontraknya.
“Menteri (dalam jawapan bertulisnya) menjawab: ‘SPRM sentiasa memperkasakan keperluan logistik dan teknologinya bagi meningkatkan kapasiti dan keupayaaan operasi SPRM dalam usaha memerangi rasuah yang semakin kompleks dan bersindiket. Ini termasuk mendapatkan peralatan-peralatan operasi yang terkini dan sesuai termasuk daripada syarikat Miliserv Technologies. Bagaimanapun SPRM tidak boleh mendedahkan maklumat lanjut demi kepentingan operasinya.'”
Sambil mengucapkan tahniah atas kejujuran menteri tersebut dalam mengakui wujudnya urusniaga itu, beliau berkata salah satu daripada dua agensi kerajaan telah pun mengesahkan dakwaan Rozario.
“Satu lagi agensi kerajaan yang didakwa terlibat adalah JPM. Adakan JPM mempunyai keberanian dan kejujuran untuk mengakuinya seperti SPRM?” soal beliau.
Menurut Tze Tzin, dengan munculnya lebih banyak bukti yang menyokong dakwaan Rozario, adalah mustahak bagi JPM menjawab secara serius sama ada jabatan itu telah membeli peranti spyware daripada The Hacking Team.
Jika dakwaan ini benar, Ahli Parlimen Bayan Baru itu juga mahukan penjelasan sama ada JPM mempunyai kuasa perundangan untuk menggunakan peranti tersebut.
JPM juga, tambah beliau patut menjelaskan sama ada dokumen politik seperti ‘Senarai cadangan calon PRU Ke-13 mengikut negeri’, ‘Pengundi asing’ dan ‘Dakwat kekal’ ketika musim pilihan raya umum ke-13 (PRU13) mempunyai kaitan dengan Miliserv.
“Adakah ia sebuah syarikat swasta yang terlibat dalam mengintip rakyat Malaysia dalam PRU-13? Jika benar, adakah ia satu ancaman kepada parlimen demokrasi? Adakah pihak berkuasa telah membuat siasatan?” soal Tze Tzin lagi.