Usahawan selebriti, Shuib mengaku syarikat minuman yang diasaskannya iaitu Bubble Bee kini sedang berhadapan dengan masalah pengurusan kewangan.
Masalah ini dipercayai menjadi punca berlakunya kelewatan pembayaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada kakitangan syarikat berkenaan.
Pemilik nama sebenar Shahmira Muhammad itu bagaimanapun memaklumkan bahawa pihaknya telah menghubungi KWSP untuk mencari jalan keluar daripada masalah itu.
Difahamkan, syarikat Bubble Bee kini sedang berunding dengan pihak KWSP agar tunggakan caruman tersebut dapat dibayar secara berperingkat atau ansuran.
Penjelasan itu dimuat naik di akaun TikTok miliknya susulan surat layang mengenai kegagalan syarikat Bubble Bee membayar KWSP pekerja tular di platform yang sama.
“Kami akui Bubble Bee ada ‘sangkut’ KWSP. Namun saya nak buat pencerahan apabila surat layang itu seolah-olah (menggambarkan) kami langsung tidak mengendahkan tentang KWSP pekerja.
“Awal tahun ini kami berhubung dengan KWSP dan memaklumkan kepada pihak mereka tentang tunggakan caruman yang mana kami tidak dapat bayar sekali gus.
“Kami buat rundingan untuk bayar secara ansuran sebab itu adalah tanggungjawab syarikat. Alhamdulillah kami ada buat sebahagian pembayaran (tunggakan),” katanya.
Mengulas lanjut, Shuib selaku pengasas Bubble Bee menjelaskan masalah yang berlaku di dalam syarikatna itu berpunca daripada kelemahan pengurusan terdahulu.
“Daripada awal bermulanya Bubble Bee, saya memegang jawatan sebagai ketua pemasaran tetapi saya tidak menjaga bahagian lain termasuk kewangan.
“Sampai tahun ketiga, Bubble Bee mempunyai masalah pengurusan. Memang kami mendapat keuntungan tinggi tetapi apabila berlaku salah laku dalam pengurusan, banyak masalah berlaku.
“Jadi bermula November tahun lalu, saya bersama seorang lagi rakan kongsi mula mengambil alih hal berkaitan pengurusan termasuk di bahagian kewangan,” jelasnya.
Ahli perniagaan berusia 37 tahun itu turut memohon maaf kepada semua pihak terutama kakitangan Bubble Bee yang terjejas dengan isu kelewatan pembayaran KWSP.
Berjanji akan menyelesaikan tunggakan caruman KWSP dengan secepat mungkin, Shuib tidak mahu syarikat yang diasaskannya itu dituduh mengambil hak pekerja.
“Saya juga nak minta maaf kepada semua kakitangan termasuk bekas pekerja di atas kekurangan dan kekhilafan ini. Insya-Allah kami akan selesaikan secepat mungkin.
“Saya tak nak orang luar merasa kami ambil hak pekerja kerana langsung tidak mencarum KWSP. Perkara itu tidak benar kerana itu adalah kewajipan Bubble Bee dan saya sebagai pengasas.” Ulasnya.
Baca juga: Tak ada idea nak buat sarapan? Boleh cuba resipi mini pancake, mesti anak suka