Juara-juara korporat yang mengecewakan

Oleh NASUHA RAHMAN

Juara-juara korporat kita terpelosok ditendang ke bawah tangga pencapaian korporat bagi tahun yang baru berlalu.

Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz dan Pengerusi Bursa Malaysia Berhad, Abdul Wahid Omar gagal mempertahankan pasaran saham kita.

Akibatnya, pasaran saham kita iaitu Bursa Malaysia terpeleot jatuh tersungkur berbanding bursa-bursa saham utama lain di Asia pada tahun 2021.

Carta yang disiarkan oleh akhbar The Star di bawah menunjukkan Bursa Malaysia menduduki tempat selapan daripada sembilan buah bursa utama.

Lagi teruk, Bursa Malaysia adalah adalah antara tiga yang mencatatkan kemerosatan indeks. Tengku Zafrul dan Abdul Wahid takkan nak diam membisu seribu bahasa kot?

Tambah mengaibkan, Bursa Malaysia kalah teruk kepada Siam dan Indonesia yang selama ini banyak orang kita pandang rendah.

Manakala indeks Pasaran Saham Thailand naik 14.4 peratus, Jakarta 10.1 peratus, Singapura 9.8 peratus, Tokyo 4.9 peratus, Shanghai (China) 4.8 peratus dan Korea Selatan 3.6 peratus, indeks KLCI Malaysia jatuh 3.7 peratus.

Pasaran saham ini adalah antara kayu ukur utama kepada keyakinan pelabur terhadap ekonomi sesebuah negara. Jelaslah sejak rampasan kuasa “Sheraton Move” pada Februari 2020 dengan pelantikan Mahiaddin Md Yasin dan kemudian Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri serta Tengku Zafrul sebagai Menteri Kewangan tidak meyakinkan pelabur.

Apabila keyakinan kepada Bursa Malaysia jatuh, pelabur turut tidak yakin kepada pengendalinya iaitu Bursa Malaysia Berhad yang dipengerusikan oleh Abdul Wahid.

Akibatnya harga saham Bursa Malaysia Berhad jatuh daripada paras tertinggi RM9.35 pada 3 Februari lalu kepada RM6.55 pada 31 Disember.

Kesimpulannya, bala bencana akan menimpa ekonomi negara apabila pelabur tempatan dan asing kurang yakin dengan suasana politik serta prospeks ekonomi negara.