Jumpa balik duit hilang, ‘owner’ terkejut dapat surat daripada bekas pekerja

Oleh KIM SYAZIE

Seorang pemilik kedai terkejut melihat duit dan sekeping nota yang ditinggalkan bekas pekerjanya di kedainya.

Rupa-rupanya surat tersebut menyatakan bahawa dialah penyebab duit kurang dalam peti juruwang satu ketika dahulu.

Mungkin kesempitan hidup memaksanya untuk mengambil duit, dia akhirnya memulangkan kembali jumlah tersebut.

Pemilik kedai, Shahhul Hamed Sanudin, memuat naik hantaran di Facebook mengenai kisah bekas pekerjanya dan telah memaafkan kelakuan staff tersebut.

“Kepada bekas staff saya, saya maafkan dan halalkan semua jika ada terkurang atau terlebih.

“Saya kagum dengan apa yang anda buat, bukan semua orang mampu buat seperti anda.

“Semoga anda dan keluarga anda sentiasa di murahkan rezeki dan di berikan kesihatan yang baik,” ujarnya di Facebook.

Rata-rata warganet memahami situasi pekerja terbabit dan gembira kerana dia sanggup memulangkan kembali wang yang pernah diambil.

“Keadaan dia terlalu terdesak masa tu, selagi dia tak pulangkan hati dia tak tenang. Alhamdulillah baik budak ni, semoga rezekinya dipermudahkan sentiasa,” ujar pengguna Facebook.

“Semoga insan ini menjadi yang lebih baik dari semalam. Jika terbaca dan satu hari nanti serta perlu bantuan datanglah cari saya,” tambah pengguna lain.

Baca juga: Budak 9 tahun maut dicekik abang, pelaku rupanya alami trauma selepas dibuli