Tular sebelum ini penemuan puluhan bangkai kucing di sebuah kondominium di Bandar Permaisuri, Cheras 11 Mac lalu.
Berikutan itu, sekumpulan pegawai penyiasat dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar telah ke lokasi tersebut untuk melakukan siasatan.
Presiden Persatuan Animal Malaysia, Arie Dwi Andika memaklumkan bahawa pasukan penyiasat terlibat adalah pegawai penguatkuasa Seksyen Kebajikan Haiwan dan Penguatkuasaan Lembaga Kebajikan Haiwan.
Pasukan tersebut akan menguruskan penyiasatan dan penguatkuasaan terhadap laporan berkaitan jenayah haiwan yang dilaporkan oleh saksi utama.
“Semoga satu siasatan terperinci dan lengkap dapat dimajukan kepada pendakwa raya dan kes boleh diadili demi keadilan untuk haiwan dan keadilan terhadap manusia.
“Biarlah mahkamah menentukan mengenai kesalahan sama ada ia perbuatan kriminal atau bukan.
“Animal Malaysia mahukan kes jenayah haiwan ini sampai ke mahkamah dan dibicarakan,” tulisnya dalam hantaran di Facebook Persatuan Animal Malaysia.
Sebelum ini, Arie memaklumkan mengenai puluhan bangkai yang dipercayai bangkai kucing disimpan di kondominium terbabit.
Perkara tersebut hanya terbongkar selepas pemilik rumah membuat pemeriksaan.
Tambahnya, terdapat anggota badan haiwan yang dikerat-kerat, selain daging dikisar lumat di dalam kondominum terbabit.
Baca juga: Penemuan puluhan bangkai kucing dalam rumah sewa, jiran dedah ‘perangai’ suspek