Jumpa RM10k dalam dompet, gelandangan nekad serahkan kepada polis, tak mahu ambil hak orang

Oleh MAISARAH AISYA

Masih ada ramai orang baik dalam dunia ini, walaupun tahu diri serba kekurangan namun tidak pernah ambil jalan mudah dengan mengambil hak orang lain.

Bagai bulan jatuh ke riba, bukan selalu kita terjumpa dompet berisi ribuan ringgit, kalau jatuh ke tangan yang salah maka memang pasti akan lesap.

Tapi buat seorang lelaki gelandangan di Belanda ini, dia nekad memulangkan semula dompet berisi wang berjumlah €2,000 (RM10,000) kepada pihak polis.

Menurut AFP, Al-Ali menemui dompet itu di stesen pusat Amsterdam semasa mencari botol plastik untuk ditukarkan dengan wang tunai.

Sudah menjadi gelandangan selama 18 bulan, lelaki berusia 33 tahun itu tidak mahu mengambil kesempatan atas kelalaian orang lain.

Polis berkata lelaki tersebut menyerahkan dompet berisi wang yang tidak mempunyai dokumen pengenalan atau petunjuk lain di dalam dompet.

Penyerahan kepada pihak polis adalah bertujuan untuk mengesan dan menghubungi pemilik dompet berkenaan.

“Oleh kerana kami berpendapat bahawa kejujuran harus diberikan ganjaran, dia mendapat hadiah yang kami kadang kala berikan kepada orang awam bersama baucar bernilai €50 (RM252),” kata polis.

Menurut polis, wang itu akan diserahkan kepada Al-Ali sekiranya tidak dituntut dalam tempoh setahun.

Melalui satu rakaman video yang disiarkan di media tempatan, Al-Ali memaklumkan dia akan memulangkan semula barang bukan miliknya.

”Apa sahaja yang saya temui (barang orang lain), saya akan kembalikannya.

“Mungkin pemiliknya mempunyai perniagaan dan boleh memberikan saya pekerjaan atau tempat berteduh,” ujarnya.

Baca juga: Aya Amiruddin redha tak jadi kahwin, dedah dah sebulan ‘single’ selepas dua tahun bertunang