Jurugambar kritik perangai tetamu lelaki, datang majlis kahwin tapi berselipar

Oleh KIM SYAZIE

Seorang jurugambar menegur sikap segelintir tetamu lelaki yang masih tidak peka dengan etika berpakaian ketika menghadiri majlis perkahwinan.

Dalam satu video dimuat naik di TikTok, jurugambar bernama yasier menunjukkan beberapa contoh tetamu lelaki yang datang dengan hanya mengenakan tshirt leher bulat, seluar jeans dan berselipar.

Apa yang menjadi perhatiannya adalah penggunaan selipar yang dianggap paling tidak sesuai untuk menghadiri majlis perkahwinan.

Dia juga menasihatkan agar kaum lelaki tidak mengenakan selipar ke majlis-majlis seperti itu kerana boleh merosakkan gambar dan suasana.

“Yang lelaki, tolong pakai kasut kalau pergi majlis perkahwinan. Tolong, jangan pakai macam ni (berselipar). Adoi, dengan berstoking lagi.

“Bukan apa, pengantin kadang-kadang nak masukkan gambar korang dalam album ke apa ke, nampak tak beretika. Nampak spoil (merosakkan gambar).

“Orang perempuan boleh pakai lawa-lawa, lelaki kenapa macam ni,” kata individu tersebut di TikTok.

Individu tersebut juga menunjukkan contoh etika pakaian sebenar iaitu berkemeja dan berkasut.

“Korang tak perlu lah datang pakai sut ke, pakai toxedo ke. Tak payah macam tu. Pakai macam ni je. Ringkas. 

“Pakai baju bersesuaian dengan majlis. Bukan pakai selipar macam nak pergi pasar,” katanya lagi.

Video itu sehingga kini mendapat lebih 300,000 tontonan dan lebih 36,000 tanda suka.

Sementara menjengah ke ruangan komen, netizen berdebat mengenai isu ini dengan sebahagian bersetuju tentang sikap menghormati majlis orang lain dan sebahagian lagi menyentuh tentang latarbelakang seseorang yang tidak semuanya orang senang.

Mereka juga mempertahan pemakaian selipar kerana menganggap mereka datang untuk berjumpa rakan-rakan dan tidak menjangka akan ada sesi bergambar bersama.

Baca juga: Patutlah murah, perisa sahaja! Ini 5 jenis sos tiram yang anda wajib tahu