Parti Islam Se-Malaysia (PAS) hari ini, menyambut baik kenyataan Kementerian Kesihatan bahawa tindakan akan diambil kepada hospital swasta sekiranya melanggari peraturan di bawah Bahagian Amalan Perubatan Swasta Kementerian Kesihatan itu.
Pas turut bersimpati dengan nasib jururawat Naziah Sauni Samat yang ditamatkan perkhidmatan oleh majikannya, kerana pemakaian uniform kerja yang menutup aurat.
Satu pertemuan menunjukkan solidariti dan memberi sokongan dalam isu berlaku telah diadakan di Ibu Pejabat PAS hari ini. Ia selaras dengan agenda PAS memperjuang serta mempertahan syariat dan nilai hidup Islam dalam masyarakat dan negara.
“PAS sekaligus menyokong peraturan yang menyebut supaya semua hospital di bawah kementerian mewajibkan jururawat beragama Islam menutup aurat dan arahan ini turut diguna pakai untuk hospital swasta.
“PAS juga berharap pihak hospital memohon maaf di atas peraturan yang menghalang pekerja Muslim menutup aurat dengan sempurna dan meminda undang undang tersebut serta berharap Cik Naziah diterima berkerja semula.
“Isu ini bukan isu perkauman dan suasana harmoni antara kaum hendaklah terus dijaga dan dipertahankan. Ianya adalah isu hak untuk mengamalkan agama dan nilai hidup yang diimani. Semoga perkara ini boleh diselesaikan dengan terbaik,” ujarnya Ketua Penerangan PAS, Nasruddin Hassan Tantawi dalam satu kenyataan.
Antara pimpinan PAS yang hadir ialah Mukhtar Suhaili (AJK PAS Pusat merangkap Bendahari Dewan Pemuda PAS Malaysia dan Setiausaha PAS Negeri Sarawak), Sdr Khairul Faizi Kamil (Penolong Setiausaha PAS Pusat), Kartini Ahmad (Setiausaha Dewan Muslimat PAS Pusat), Puan Norhafiza Fadzil (Penolong Setiausaha 1 Dewan Muslimat PAS Pusat) dan Ustaz Mohd Abdul Hadi Mohd Ghazali (Ketua Staff Dewan Pemuda PAS Malaysia).
Dalam pertemuan itu juga PAS berbesar hati memberikan cenderahati kepada Naziah Sauni tiga buah buku sebagai bahan bacaannya seperti Rahsia Wanita Syurga dan Ajarkan Wanitamu Tafsir Surah An-Nur Bahagian 1 dan 2.
Sebelum itu pada Khamis lalu, Ahli Parlimen Bachok,Ahmad Marzuk Shaary bagi pihak parti mahu menghantar memorandum kepada Kementerian Kesihatan Malaysia untuk pihak kerajaan memandang serius isu yang berlaku terhadap Naziah Sauni dan ramai lagi yang mungkin menerima nasib sama dikalangan jururawat di hospital swasta.
Damai Services Hospital (Melawati) Sdn Bhd dalam kenyataan media pada Ahad, memaklumkan kenyataan dikeluarkan Naziah di Pejabat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) telah merosakkan imej hospital dan kakitangan mereka.
Pengurus Kewangan dan Sumber Manusianya, Regina Sundram dilaporkan berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan peguamnya pada Isnin ini (semalam) bagi tindakan lanjut.