Jurutera menyesal ikut cakap keluarga beli Honda, rasa terbeban tanggung kos selenggara

Oleh WAN SITI AMINAH

Baru-baru ini tular satu perkongsian dari seorang jurutera yang mengakui telah membuat kesilapan dalam membeli kereta berjenama sehingga merasa terbeban ekoran perlu menanggung kos penyelenggaraan yang agak tinggi.

Menurut pemuda terbabit, kenderaan keluaran Jepun itu dibeli ketika baru sahaja mula bekerja selepas mengikuti cadangan keluarganya yang menyifatkan kereta tersebut lebih sepadan dengan tarafnya sebagai ‘jurutera’.

Lelaki itu bagaimanapun mula menyesali keputusannya selepas menyedari bahawa ansuran bulanan kereta bukan satu-satunya komitmen yang perlu ditanggung selepas membeli kenderaan tersebut.

“Saya rasa menyesal sangat-sangat beli kereta jenama ‘H’ masa baru mula bekerja dahulu. Saya sebenarnya nak beli kereta Bezza sahaja. Tetapi keluarga cakap, tak akanlah jurutera pakai kereta tempatan sahaja.

“Gaji pula RM3,500. Ansuran bulanan baru RM1,000. Saya ingatkan ada banyak baki untuk bayar komitmen lain. Tetapi apabila sudah mula bayar, barulah sedar yang saya mula terbeban. Kena bayar servis kereta lagi.

“Selain itu perlu menanggung kos cukai jalan kenderaan, caj menukar tayar kalau botak. Semuanya saya yang kena tanggung sendiri,” kesal pemuda yang berkongsi masalah kini dihadapinya dalam satu perkongsian.

Jurutera itu kemudian turut bertanyakan pendapat orang ramai mengenai tindakan seterusnya yang perlu diambil dalam menyelesaikan masalah komitmennya agar dapat menguruskan kewangan dengan lebih baik.

Perkongsian pemuda terbabit dimuat naik di platform lain namun dikongsikan semula menerusi satu hantaran tular di laman media sosial Threads melalui gambar tangkap layar oleh individu lain.

“Adakah saya patut mengurangkan komitmen lain atau menjual sahaja kereta tersebut? Sekiranya saya membuat pilihan untuk tetap memakai kereta itu, bagaimanakah cara nak menguruskan kewangan dengan lebih baik?

“Sekadar makluman, gaji saya statik sehingga kini. Ingat akan naik juga gaji pada tahun ini. Rupanya tak,” kongsi jurutera terbabit berharap orang ramai dapat memberikan cadangan untuk mencari jalan penyelesaian.

Tinjauan di ruangan komen perkongsian itu mendapati rata-rata pengguna berpendapat bahawa pembelian sepatutnya dibuat mengikut kemampuan masing-masing tanpa menghiraukan pandangan orang lain.

Ramai juga pengguna mengakui membeli kereta yang jauh lebih murah daripada pendapatan mereka dan hidup dengan bersederhana supaya tidak perlu menanggung beban di kemudian hari.

Baca juga: Bos anjur majlis buka puasa untuk ‘staff’ tapi minta bayaran RM100 seorang