Kabinet Ismail perlu teruskan usaha reformasi institusi, kata PH

Oleh KIM SYAZIE

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan bakal Kabinetnya kelak perlu meneruskan langkah-langkah reformasi yang digariskan Pakatan Harapan untuk menyelamatkan rakyat, yang selama ini tergendala di bawah kepimpinan Tan Sri Mahiaddin Md Yasin.

Majlis Presiden PH berkata, ini termasuklah reformasi dan penambahbaikan Pelan Pemulihan Negara dengan memastikan pogram saringan ujian awam iaitu FTTIS+V” (find, test, trace, isolate and support plus vaccinate) dilaksana dan memastikan sokongan tambahan diberi kepada sistem kesihatan awam.

Selain itu, PH juga sebelum ini telah menggariskan dasar reformasi fiskal agar jumlah bantuan untuk rakyat ditingkatkan termasuk suntikan tunai RM45 bilion secara langsung kepada pekerja, perniagaan dan sektor kesihatan.

“Laksanakan juga program moratorium pinjaman bank tanpa faedah demi menyelamatkan nyawa dan mata pencarian.

“(Laksana) reformasi institusi dengan memperkasa Parlimen melalui penggubalan Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Parlimen, memperkukuh fungsi semak imbang Parlimen, serta mengiktiraf peranan pembangkang dengan benar-benar dilibatkan dalam usaha dan ikhtiar kerajaan.

“Akhir sekali, mulakan reformasi perundangan termasuk dengan melaksana Undi 18 dan Akta Anti Lompat Parti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan tersebut dibuat bersama PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, AMANAH Mohamad Sabu, dan DAP Lim Guan Eng.