Tong gas bersubsidi: Keputusan Kabinet lambang keperihatinan Kerajaan Madani

Oleh MALAYSIADATELINE

Keputusan Kabinet untuk meminda peraturan kawalan bekalan termasuk berkait penggunaan subsidi silinder gas petroleum cecair (LPG) adalah lambang keprihatinan Kerajaan Madani.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Ali berkata Jemaah Menteri bersetuju meminda Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) (Pindaan) 2021 yang diluluskan pentadbiran lalu di bawah Perikatan Nasional (PN) dan berkuat kuasa 15 Oktober 2021 lalu.

Turut dipersetujui syor semakan dan pindaan diselaraskan jawatankuasa teknikal dipengerusikan ketua setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara yang juga membabitkan agensi lain serta pandangan pemegang taruh.

Ekoran keputusan ini, para peniaga kecil dan sederhana boleh menggunakan tong gas LPG bersubsidi tanpa sebarang masalah atau tanpa memerlukan permit.

“Mesyuarat Jemaah Menteri juga memperakukan sepanjang tempoh Ops Gasak dan sehingga pindaan kepada PPKB (Pindaan) 2021 dimuktamadkan, tiada tindakan undang-undang terhadap perniagaan jualan dan makanan berskala mikro dan kecil berkaitan penggunaan silinder LPG bersubsidi bagi keperluan premis perniagaan sendiri.

“Peniaga mikro dan kecil makanan dan minuman dibenarkan mendapatkan bekalan tong LPG bersubsidi tanpa keperluan permit barang kawalan berjadual,” katanya dalam kenyataannya hari ini.

Dalam masa sama, Armizan berkata, gerak kerja membanteras ketirisan yang melibatkan aktiviti haram pemindahan kandungan gas LPG daripada tong subsidi dan penggunaan oleh industri melalui Ops Gasak akan diteruskan.

Bermula 1 Mei hingga 31 Oktober, KPDN melancarkan Ops Gasak untuk mengekang ketirisan subsidi LPG khususnya oleh pengguna industri dan perniagaan berskala besar.

Perniagaan termasuk restoran dan kafe mesti menggunakan silinder LPG 14 kg gred komersial berharga RM70, bukan silinder bersubsidi untuk isi rumah berharga RM26.

Mereka yang menggunakan atau menyimpan lebih 42 kg atau tiga silinder juga mesti mendapatkan permit barang kawalan berjadual.

Ekoran pelaksanaan Ops Gasak ini, peniaga kecil bimbang mereka diambil Tindakan jika menggunakan tong gas yang bersubsidi yang dikhaskan untuk penggunaan domestic.

Ekoran itu, keputusan Kabinet hari ini menggantung peraturan yang diluluskan oleh kerajaan sebelum ini.