Tanda pagar #KaburAjaDulu telah menjadi trending di media sosial Indonesia terutama di laman X sejak minggu lalu.
Memetik Jawa Pos, pengguna media sosial menggunakan tanda pagar itu sebagai protes dan cara mereka untuk meluahkan rasa tidak puas hati terhadap pelbagai dasar di Indonesia.
Tanda pagar itu seiring dengan hasrat seorang warganegara Indonesia sebelum ini yang berkongsi perancangannya untuk berpindah ke Malaysia.
Katanya, peluang pekerjaan di Malaysia jauh lebih banyak berbanding di Indonesia.
Dia juga sedang mencari maklumat tentang cara mendapatkan pas digital nomad untuk memulakan hidup baru di negara ini.
Video tersebut kemudiannya tular dalam kalangan netizen Indonesia, dan menarik perhatian ramai yang bersetuju dengan pendapat individu itu.
Mereka turut berfikir untuk berpindah ke Malaysia, dengan alasan yang hampir sama.
Antara sebab utama mereka mahu berpindah ke Malaysia adalah kerana peluang pekerjaan yang lebih banyak dan gaji yang dianggap mampu menampung kos hidup dengan lebih baik.
Tidak seperti di Indonesia, mereka berpendapat bahawa dengan gaji yang diterima di Malaysia, mereka dapat hidup dengan selesa dan masih boleh menabung.
Selain itu, mereka juga melihat kualiti hidup di Malaysia sebagai lebih baik, terutamanya dalam aspek fasiliti awam yang lebih teratur, pendidikan yang lebih maju, dan persekitaran yang lebih kondusif secara keseluruhan.
Keadaan ini membuatkan ramai yang berasa Malaysia menawarkan kehidupan yang lebih stabil dan berkualiti.
Baca juga: Budak 10 tahun kritikal gara-gara tercekik ‘gummy’ mata, belum tunjuk maklum balas