Satu kajian faedah dan risiko ke atas aktiviti perlombongan dan pengeksportan bauksit di Kuantan harus dilakukan dalam tempoh penangguhan sementara atau moratorium selama tiga bulan ini.
Adun Beserah, Andansura Rabu berkata, langkah tersebut perlu bagi mengelak tekanan dialami penduduk tempatan sebelum ini tidak berulang akibat operasi pemunggahan bauksit yang sampai peringkat di luar kawalan kerajaan negeri mahupun agensi penguatkuasaan.
“Sekiranya dapatan kajian menunjukkan risiko lebih besar daripada faedah, maka aktiviti perlombongan bauksit mesti dihentikan untuk selama-lamanya,” tegasnya ketika dihubungi Malaysia Dateline.
Mengulas hari pertama pelaksanaan moratorium berkuatkuasa semalam, beliau berkata rata-rata orang ramai khususnya kawasan teruk terjejas lega dengan keadaan terkawal dan persekitaran yang bertambah baik.
“(Penduduk) Tiada lagi terpaksa berhadapan dengan debu dan lumpur merah serta lori-lori yang begitu sibuk di atas jalan raya,” tambahnya lagi.
Menganggap tempoh moratorium berkenaan mencukupi untuk mempersiapkan peraturan serta garis panduan baharu, beliau bagaimanapun berkata, tempoh tiga bulan itu agak singkat untuk kerja-kerja pemulihan.
Ekoran arahan Perdana Menteri, operasi pembersihan di kawasan terjejas bermula semalam melibatkan lebih 100 wakil pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) serta Alam Flora Sdn Bhd.
Bagaimanapun, sebanyak 22 pengusaha lombong berlesen difahamkan tidak terlibat dalam operasi pembersihan yang dijadualkan akan berlangsung selama sebulan itu.
Selain itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga mengesan tidak kurang 200 pengusaha bauksit haram.
Dalam hal berkaitan, SPRM turut mendedahkan wujudnya ketirisan dan rasuah dalam pemberian royalti hasil bauksit kepada kerajaan negeri Pahang dengan kira-kira RM180 juta lesap tanpa jejak daripada akaun kerajaan negeri.