Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Johor menyarankan kerajaan negeri melantik pakar untuk mengkaji sistem perancangan bandar dan kampung serta saliran air yang bermasalah, bagi mengelakkan bencana banjir memberi impak yang teruk seperti berlaku di Selangor dan Pahang.
Dalam kenyataan hari ini, pertubuhan belia itu berkata, peruntukan dana khas bencana perlu segera disalurkan kepada setiap daerah yang terkesan bagi membolehkan bantuan kepada rakyat terjejas diagih segera.
ABIM Negeri Johor juga mengajak semua pihak supaya mengambil iktibar daripada bencana banjir besar yang melanda Selangor dan Pahang.
“Berikutan amaran ribut petir berserta hujan lebat berterusan dikeluarkan MetMalaysia yang menjangkakan berlaku luruan monsun bermula Isnin lalu hingga 3 Januari depan, kerajaan Johor diharap sudah bersedia sepenuhnya menghadapi sebarang kemungkinan.
“Mengimbau kembali banjir besar di Kota Tinggi dan beberapa daerah negeri ini pada awal Januari lalu menyebabkan ramai penduduk terjejas dan beberapa jalan utama terpaksa ditutup menyebabkan hubungan terputus,” katanya.
Sehubungan itu, ABIM Johor turut menyarankan kerajaan negeri membuka talian hotline 24 jam untuk seluruh rakyat Johor jika berlaku kecemasan.
“Bilik gerakan bencana di setiap daerah yang terkesan perlu segera dibuka dengan menempatkan petugas atau sukarelawan jika bencana banjir berlaku, dengan menyediakan ruang penyampaian maklumat kepada seluruh agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membantu koordinasi pergerakan sukarelawan dan agihan bantuan.
“ABIM Negeri Johor juga menjunjung titah Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, kerana telah mengarahkan semua agensi kerajaan memantau situasi semasa supaya bersedia menghadapi segala kemungkinan,” kata kenyataan berkenaan.