Tular di media sosial sejak semalam mengenai khabar duka menimpa pempengaruh, Marissa Dania yang kehilangan cahaya mata sulung akibat kelahiran pramatang.
Anak kepada pasangan pelakon iaitu Abby Abadi dan Norman Hakim itu dikhabarkan sedang hamil enam bulan dan menghadiri sebuah acara pelancaran produk, baru-baru ini.
Marissa bagaimanapun segera dikejarkan ke hospital berdekatan selepas mengadu sakit perut sebelum bayi dalam kandungannya itu meninggal dunia ketika dilahirkan dalam keadaan pramatang.
Susulan tularnya khabar tersebut, segelintir pengguna media sosial malah bertindak menimbulkan spekulasi sendiri dengan menuduh madu Marissa iaitu Umisya Mazlan bergembira atas musibah menimpa isteri kedua suaminya, Aslam itu.
Tampil menepis spekulasi, kakak kepada Umisya iaitu Ursella Mazlan memaklumkan adiknya juga berdukacita dengan pemergian anak sulung Marissa malah turut membantu menguruskan jenazah bayi berkenaan.
“Adik kami, Umisya Mazlan sendiri datang ziarah, mandikan dan solatkan jenazah arwah bayi Marissa. Adik kami tidak seronok, malah apa yang dikeluarkan dari mulutnya ialah ‘ini semua ujian yang Allah aturkan untuk kita’.
“Misya turut bersedih dan terkejut tentang berita keguguran serta kematian bayi Marissa kerana adik kami juga seorang ibu dan sekarang sedang berbadan dua. Jadi sila jaga emosi adik saya. Jaga kata-kata anda wahai manusia,” katanya.
Menerusi hantaran yang dimuat naik di Instastory itu, Ursella turut mengucapkan takziah kepada Marissa dan keluarga selain mengakui sudah mengetahui khabar tersebut pada hari majlis pelancaran berkenaan berlangsung.
Namun penjelasan diberikan Ursella itu malah tidak disambut baik oleh sesetengah pihak yang ‘kecewa’ akan tindakan Umisya berbaik dengan Marissa ekoran wanita berkenaan pernah menjadi orang ketiga dalam rumah tangganya.
Ursella kemudian sekali lagi memberikan respon dengan menegaskan bahawa sudah menjadi sebahagian daripada tanggungjawab Umisya untuk membantu berikutan urusan membabitkan kematian adalah Fardu Kifayah.
“Sifat manusia Allah beri perasaan, rasa Ihsan sesama manusia. Tak kisahlah kalau orang itu buat jahat kepada kita, tetapi jika dia ditimpa musibah terutama berkaitan kematian wajib kita bantu. Sebab itu kan Fardhu Kifayah.
“Belum berbaik bukan bermaksud tiada sikap empati dan simpati sesama manusia. Selepas bayi syurga dimandikan, Misya sendiri yang meribakannya dipangkuan dia.
“Sebab apa? Sebab rasa tanggungjawab sesama Islam untuk menunaikan Fardhu Kifayah. Dan bukankah benih bayi syurga itu datang dari benih suaminya juga?.” Tulisnya dalam hantaran itu.
Terdahulu, Marissa mengunci mulut mengenai khabar dirinya sedang berbadan dua seperti yang tular di media sosial namun hanya meminta doa orang ramai agar segala urusan dipermudahkan.
Spekulasi mengenai kehamilan Marissa itu timbul selepas netizen ternampak ‘baby bump’ di bahagian perutnya ketika wanita berusia 19 tahun terbabit meraikan ulang tahun adiknya pada 16 Julai lalu.
Sekadar info, Marissa sebelum ini menjadi bualan ramai apabila didakwa menikah di Selatan Thailand bersama Aslam yang juga berstatus suami orang pada 27 Disember tahun lalu.