
Menteri Wilayah, Khalid Samad hari ini mengajak semua kakitangan kementerian serta badan-badan di bawahnya yang beragama Islam agar membayar zakat melalui potongan gaji.
Berucap ketika melancarkan kempen membayar zakat melalui potongan gaji di Putrajaya hari ini, Khalid yakin dengan cara potongan gaji pembayaran zakat akan lebih sistematik dan memudahkan pihak yang layak untuk menerima zakat dan mendapat manafaat dari sistem zakat yang diwajibkan ke atas orang Islam itu.
Menurut Khalid, sehingga kini hanya 22.7% kakitangan Kementerian Wilayah membayar zakat melalui sistem potongan gaji itu.
“Oleh yang demikian, saya amat menyeru dan berharap supaya lebih ramai warga yang layak membayar zakat dapat berbuat demikian. Ini kerana pelaksanaan ini sekali gus dapat memberikan gambaran bahawa warga wilayah adalah warga prihatin,” kata Khalid dalam majlis itu.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Wilayah Persekutuan, Ahmad Shukri Yusof berkata, Khalid sendiri yang mengambil inisiatif untuk menggalakkan kakitangannya membayar zakat melalui potongan gaji.
“Semoga inisiatif ini mendapat kerahmatan dari Allah,” kata beliau yang turut berucap di majlis yang disertai oleh hampir kesemua pegawai kanan Kementerian Wilayah itu.