Ada satu keghairahan di kalangan para penyokong idea penyatuan politik Melayu iaitu meletakkan semua kesalahan dan kepincangan negara kepada DAP.
Jika dahulu idea mengkambinghitamkan DAP ini dijuarai Umno, kini tugas itu turut disambut Pas terutama selepas hubungan kedua belah parti yang pada asalnya menganggotai Pakatan Rakyat mula goyah akibat konflik dalaman.
Bersatu akhirnya turut sama tenggelam dalam sindrom itu dengan menjadikan DAP alasan untuknya meninggalkan PH dan terlibat dalam Langkah Sheraton.
Mudah untuk parti-parti Melayu itu mengkambinghitamkan DAP semata-mata bagi meraih sokongan orang Melayu yang mudah terbuai dengan sentimen. Tetapi jika usaha meraih sokongan itu dibuat dengan pembohongan dan pembodohan, ianya suatu yang tidak wajar malah boleh menjejaskan keharmonian kaum di negara ini.
Banyak serangan yang dilemparkan kepada Pakatan Harapan (PH) khususnya DAP dibuat tanpa sandaran fakta dan hanya bermodalkan sentimen perkauman dan agama yang sempit.
Sebagai contoh rakaman video penyanyi veteran, Jamal Abdillah yang menyeru orang Melayu Islam agar tidak mengundi DAP atas alasan kononnya parti itu mempunyai kaitan dengan penggunaan nama Allah dalam kitab Bible; mengharamkan azan (di Pulau Pinang); dan menghentikan bantuan kepada pusat tahfiz dan institusi agama.
Tidak diketahui dari mana Jamal Abdillah mendapat maklumat tidak benar berhubung DAP sehingga membuat kesimpulannya sendiri terhadap parti itu yang pada anggapannya boleh memudaratkan Islam di negara ini.
Isu penggunaan nama Allah dalam Bible bukan membabitkan DAP, tetapi dibahaskan oleh pihak-pihak berkepentingan termasuk pemimpin parti politik di Sabah dan Sarawak.
Malah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 Mac 2021 memutuskan bahawa penganut agama Kristian di seluruh negara boleh menggunakan kalimah “Allah” dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan agama mereka untuk tujuan pendidikan.
Tiga perkataan itu ialah Baitullah, Kaabah dan solat.
Ini susulan keputusan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Nor Bee Ariffin, yang bersidang sebagai Hakim Mahkamah Tinggi, membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh wanita suku kaum Melanau dari Sarawak yang beragama Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill.
Mendakwa kononnya DAP bertanggungjawab memainkan isu ini nyata tidak benar kerana ia sebenarnya menyentuh sensitiviti masyarakat Kristian di Sarawak dan Sabah dari pelbagai fahaman politik dan badan bukan kerajaan.
Jamal juga mendakwa kononnya azan dilarang dilaungkan di Pulau Pinang sedangkan pada realitinya masjid dan surau di negeri itu bukan sahaja bebas mengumandangkan azan, malah azan Subuh dilaungkan sebanyak dua kali.
Tuduhan kononnya bantuan terhadap sekolah tahfiz dan institusi agama dihentikan juga suatu pembohongan. Sebaliknya kerajaan negeri Pulau Pinang telah menambah peruntukan untuk hal ehwal Islam hingga tidak disenangi pemimpin MCA.
Ketua Biro Publisiti MCA, Datuk Chai Kim Sen dalam satu kenyataan rasmi bertarikh 27 Julai 2017 mempersoalkan kerajaan Pulau Pinang kerana “lebih banyak membantu Bumiputera daripada kumpulan lain”.
“Selepas mengambil alih Pulau Pinang pada 2008, dalam hanya 8 tahun, ketua menteri Pulau Pinang membelanjakan RM4.5 juta untuk hal ehwal Islam di negeri itu, tetapi memperuntukkan cuma RM7.7 juta yang diagihkan kepada semua agama lain,” katanya.
Chai turut mempersoalkan peruntukan RM8 juta oleh kerajaan Pulau Pinang kepada 20 buah sekolah aliran agama, di samping pemberian 90% kontrak kerajaan kepada Bumiputera.
Ada juga pemimpin dan penyokong parti-parti Melayu Islam yang mendakwa kononnya DAP menyokong komunis dan mempunyai hubungan dengan komunis, oleh itu ia wajar ditolak umat Islam yang terkesan dengan kekejaman pengganas komunis di era darurat.
Pembohongan ini telah pun dijawab oleh para pemimpin DAP dan akan penulis ulas di kesempatan akan datang.