‘Kalau mayat ditanam di kubur orang Islam, wajib digali dan buang dalam hutan’

Oleh KIM SYAZIE

Individu Muslim yang memperolok-olokkan janji dan azab Allah boleh tergelincir daripada akidah Islam dan dihukum murtad, tegas pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus.

Menurut beliau, memperlekeh agama bukan sahaja membawa kesan di dunia, bahkan menjejaskan hak seseorang selepas mati termasuk haram dikebumikan di tanah perkuburan orang Islam.

“Meringan-ringankan janji dan azab Allah hukumnya murtad. Haram ditanam di kubur orang Islam kalau dia mati.

“Jika mayat sudah ditanam di kubur orang Islam, wajib digali dan dibuang di dalam hutan. Nampak hinanya orang yang ‘menganjing’ (mempersenda) hukum Allah. ‘Menganjing’ dengan agama tak boleh,” katanya menerusi satu rakaman ceramah memetik Kosmo! Online.

Lebih tegas lagi, Ustaz Azhar menyatakan bahawa sekiranya mayat individu itu sudah ditanam di tanah perkuburan Islam, maka jenazah wajib digali semula dan dibuang ke dalam hutan.

Kenyataan itu merujuk kepada sebuah video yang tular di media sosial, dipercayai dihasilkan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI), yang memaparkan kononnya keadaan seorang lelaki di neraka pada hari pertama dalam suasana santai dan tidak menyakitkan.

Kandungan tersebut mencetuskan kecaman meluas umat Islam dan menerima teguran daripada ramai pendakwah termasuk dari Malaysia, kerana disifatkan menghina serta mempermainkan ajaran agama.