“Kalau tak datang jenguk, telefon saja cukup” – Wanita ‘dibuang’ anak lepas kena strok

Oleh SHAFIQAH MUKHSIN

Bila anak demam sikit, ibu sanggup bersengkang mata demi menjaga mereka namun bila sudah besar sanggup pula ‘buang’ wanita yang melahirkannya.

Itulah yang dihadapi ibu tunggal dikenali sebagai Sarimah, 68 selepas lumpuh sebahagian badan akibat angin ahmar lapor Kosmo! Ahad.

Selepas kematian suami kira-kira 10 tahun lalu, Sarimah telah ‘dibuang’ oleh empat daripada lima anaknya yang berusia 30 hingga 40 tahun.

“Hati ibu mana tak sedih apabila teringat anak-anak, tetapi sekarang saya seolah-olah tidak wujud untuk mereka.

“Sudah dua tahun saya kena strok, dua anak perempuan langsung tak datang jenguk, sedang­kan sebelum sakit kami sangat rapat.

“Setiap bulan mereka akan balik atau saya akan dibawa tinggal bersama mereka,” katanya seperti dipetik Kosmo! Ahad.

Menurutnya, dia mempunyai lima anak hasil dua perkahwinannya termasuk seorang anak lelaki daripada arwah suami keduanya yang berusia 28 tahun yang kini menjadi tempat dia bergantung.

Tambah Sarimah, hubungan dengan anak-anak baik sahaja sebelum dia jatuh sakit dan segalanya berubah selepas terkena strok.

“Pada penghujung 2021, saya kena strok dan terlantar selama beberapa bulan. Masa itu anak lelaki nombor empat bawa mak cik duduk dengan dia di Pulau Pinang, namun beberapa bulan saja lepas itu, dia hantar pulang ke rumah saya.

“Selepas itu anak lelaki sulung pernah bawa saya tinggal dengannya, tetapi sekejap. Saya ikut sahaja sebab tak mahu menyusahkan mereka dan isteri yang seolah-olah tak senang dengan saya,” katanya.

Menurut Sarimah, dia tidak menyalahkan anak-anaknya itu, apatah lagi meminta mereka menjaganya yang semakin pulih daripada angin ahmar itu.

“Mungkin mereka takut saya nak duduk dengan mereka. Saya tahu itu akan menyusahkan mereka. Sebenarnya saya tak minta macam itu, cuma rindu mereka dan cucu-cucu.

“Kalau mereka tak dapat nak tengok saya, telefon tanya khabar sahaja pun hati ini akan seronok,” katanya.

Baca juga: Kenyang makan di ‘open house’, lelaki terkejut tuan rumah paksa bayar RM112 sekepala