“Kalau warga tempatan kena mohon permit!” – Netizen bengang warga asing selamba ‘busking’ di Bukit Bintang

Oleh WAN SITI AMINAH

Baru-baru ini tular satu perkongsian dari warga tempatan yang meluahkan ketidakpuasan hatinya ekoran kehadiran dua wanita dipercayai pelancong asing melakukan aktiviti ‘busking’ atau menyanyi di ibu kota.

Situasi itu dikatakan tidak adil berikutan rakyat tempatan perlu mendapatkan kebenaran dan permit daripada pihak berkuasa untuk melakukan aktiviti ‘busking’ sedangkan warga asing berkenaan tidak berbuat sedemikian.

Menerusi satu hantaran video di platform TikTok, kelihatan dua wanita dipercayai pelancong asing sedang menyanyi lagu ‘Die With A Smile’ di kaki lima sekitar kawasan Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Sebuah topi juga diletakkan di atas kerusi plastik untuk mengumpul sumbangan wang daripada orang ramai yang lalu lalang hasil daripada aktiviti nyanyian di jalanan dilakukan mereka.

“Pelancong asing busking depan kedai serbaneka di Bukit Bintang. Warga tempatan kena mohon permit terlebih dahulu, baru boleh busking. Macam mana nak kira ini,” kesal individu terbabit.

Setakat artikel ini ditulis, rakaman berdurasi sembilan saat itu sudah mendapat sebanyak 227,900 tontonan daripada pengguna TikTok dengan menuai pelbagai reaksi oleh warga tempatan.

Rata-rata pengguna meluahkan rasa bengang terhadap sikap warga asing di negara ini selain mempertikaikan penguatkuasaan undang-undang terhadap mereka sehingga berani bertindak sesuka hati di Malaysia.

Beberapa individu bagaimanapun berpandangan bahawa tindakan warga asing menyanyi di jalanan bukanlah satu kesalahan ekoran mereka hanya mencari rezeki di negara orang.

Pandangan sebegitu bagaimanapun disangkal oleh ramai pihak kerana sekiranya warga tempatan membuat aktiviti sama tanpa memohon sebarang permit, sudah tentulah barangan mereka disita dan dikenakan denda oleh pihak berkuasa.

“Senang betul mereka melancong. Tak payah bawa duit banyak-banyak. Hanya cari duit apabila sudah sampai destinasi,” kata seorang warga tempatan meluahkan kekesalannya terhadap situasi itu.

“Wah, mana dapat lesen? Aku yang warganegara ini nak ‘busking’, setiap tempat kena ada permit dan lesen. Bukan boleh main pacak. Duduk sekejap, sudah terima amaran walau dijemput untuk ‘busking’ di situ,” kongsi pengguna lain.

Baca juga: Mat Saleh teruja dapat beli Proton Iswara di UK