Satu rakaman yang dimuat naik di laman TikTok telah berjaya mengundang sebak orang ramai terutamanya di kalangan pengguna platform media sosial berkenaan.
Mana tidaknya, video tersebut berhasil merakam suasana haru melibatkan sepasang suami isteri yang menerima perkhabaran gembira selepas 16 tahun berumah tangga.
Pasangan berkenaan rupanya dikurniakan zuriat di saat hati mereka sudah reda dan berniat untuk mengambil anak angkat selepas hampir dua dekad berjuang bersama.
Sang isteri yang dikenali sebagai Haznie Rozleen itu mengakui, dirinya mula merasai perubahan pada badan sebelum membuat keputusan membeli kit ujian kehamilan.
Haznie yang membuat ujian kehamilan tanpa pengetahuan suaminya itu tidak dapat menahan sebak selepas mendapati timbulnya ‘dua garis’ jelas pada kit berkenaan.
“Yang keluar dekat bibir masa itu hanyalah namaMU Ya Allah, Ya Tuhanku! Terus hantar mesej kepada adik yang sedang menunggu menerusi aplikasi Whatsapp. Dia juga mula menangis bila tengok ‘double line’.
“Cakap dekat adik tak yakin, risau kalau kit itu rosak. Cuba uji lagi guna kit yang lain. Masa ini adik yakin seratus peratus yang kakak dia mengandung. Cubalah sekali lagi walaupun dalam hati macam nak pecah degupannya.
“Subhanallah, Allahuakbar! Tiada perkataan diluah, hanya air mataku sahaja yang gugur. Pertama kalinya dalam 16 tahun usia perkahwinan, kit ujian naik garis dua!Menangis sepuasnya aku malam itu dengan penuh KESYUKURAN!” Kongsinya.
Jelas Haznie, borang pengambilan anak angkat sebenarnya sudah disiapkan namun belum dihantar ke pihak berkenaan termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Wanita terbabit bagaimanapun tidak memberitahu suaminya sejurus membuat ujian itu pada pukul 12 malam kerana berniat mahu melakukan kejutan keesokkan harinya.
“Akhirnya tibalah masanya untuk air mata Ayah pula gugur. Ketika ini, kami bersiap nak keluar ke rumah terbuka. Ibu mengambil peluang rakam memori terindah kami. Pejuangan sabar 16 tahun kami Allah hadiahkan rezeki teragung yang sangat indah.
“Hari ini jugalah gugurnya air mata kesedihan dan kegembiraan dua buah keluarga iaitu keluarga ibu dan ayah termasuklah rakan-rakan juga insan terdekat di kalangan kami.
“Esoknya ibu dan ayah sudah tidak sabar mahu menjenguk malaikat kecil di dalam rahim Ibu.. Kami ke klinik berdekatan rumah. Subhanallah, Allahuakbar. Sudah boleh dengar degupan jantung. Mengalir lagi air mata kami termasuklah doktor.” Ceritanya.
Berjaya mengundang sebak melalui perkongsian video yang meraih 1.4 juta penonton itu, Haznie menyifatkan khabar tersebut sebagai hadiah ulang tahun perkahwinan paling terindah selepas 16 tahun berumah tangga.