‘Kami dicemuh tamak dan bodoh, tapi sebenarnya ramai tak tahu cerita sebenar’ – Mangsa

Oleh MALAYSIADATELINE

Siapa yang tak teringin hidup bebas hutang? Tawaran sebegitu memang nampak indah, tetapi ramai terlupa dalam dunia nyata, tiada istilah ‘easy money’.

Di sebalik janji manis itu, terselit risiko yang mampu memusnahkan masa depan.

Lebih membimbangkan mereka yang dijanjikan untuk hidup bebas hutang ini perlu membuat pinjaman RM800,000 daripada beberapa bank berbeza untuk dilaburkan demi mendapat keuntungan.

Mangsa kini menanggung hutang jutaan ringgit, ada yang hampir muflis, dan ada pula terpaksa membayar ansuran hingga 99 tahun walaupun sudah mohon bantuan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) lapor Harian Metro.

Salah seorang mangsa Doktor Akmal memaklumkan dia kecewa apabila ada orang memanggil mereka tamak dan bodoh tanpa mengetahui cerita sebenar.

“Ramai yang gelarkan kami tamak, bodoh dan sebagainya, tetapi sebenarnya ramai daripada kami sertai ini adalah untuk pelaburan.

“Penasihat mereka yang approach (mendekati) kami, hampir semuanya bekas pegawai bank, berjawatan kanan dalam bank ternama dan soalan pertama saya sendiri tanya adakah benda (pelaburan) ini legal (sah)?

“Sudah tentu mereka kata sah, tetapi saya juga ada buat kajian sendiri, syarikat ini ada buat portfolio pelaburan yang pelbagai,” katanya seperti dipetik Harian Metro.

Pemuda berusia 35 tahun itu berkata, pada awalnya pelaburan nampak meyakinkan dan berjalan lancar sejak disertainya pada 2021.

Jelasnya, syarikat berkenaan turut menganjurkan kelas kewangan dan seminar mengenal pasti penipuan, malah penasihatnya terdiri daripada pegawai bank.

Malah Akmal mendakwa dirinya mengambil masa enam bulan sebelum akhirnya yakin untuk melabur.

“Saya semak latar belakang syarikat semuanya sah, jadi sebab itu saya sertai, pada peringkat awal ada pulangan, dan saya juga tidak perlu bayar ansuran bulanan (RM12,800) seperti yang dijanjikan

“Ketika nak buat loan pun mudah, seperti sudah disusun, ‘coach’ akan ajar kita semua, apa untuk dicakap, bila masa untuk tanya, malah eksekutif bank datang ke pejabat kami untuk tandatangan,” katanya.

Baca juga: Bapa kahwin baru tiba-tiba muncul, nak pakai nama anak ‘refinance’ rumah isteri kedua